Hasina, anak saudara ahli politik Britain dihukum penjara dalam kes rasuah

NEW DELHI - Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina dijatuhi hukuman penjara 10 tahun atas pertuduhan rasuah pada Isnin, manakala anak saudara perempuannya yang juga Ahli Parlimen Britain, Tulip Siddiq, dijatuhi hukuman penjara empat tahun.
Media tempatan melaporkan bahawa mahkamah mendapati mereka bersalah dalam dua kes berasingan berhubung salah laku dalam peruntukan dua plot tanah di bawah Projek Bandar Baharu RAJUK berhampiran Dhaka.
Hakim Robiul Alam daripada Mahkamah Khas Hakim-4 Dhaka turut menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun setiap seorang terhadap adik perempuan Tulip, Azmina Siddiq, dan abangnya, Radwan Mujib Siddiq dalam satu daripada kes berkenaan.
Keputusan itu diumumkan ketika kempen pilihan raya sedang rancak bagi pilihan raya parlimen pertama Bangladesh sejak Hasina meletak jawatan dan melarikan diri ke India pada Ogos 2024.
Parti pimpinan Hasina, Liga Awami dilarang menyertai pilihan raya pada 12 Februari ini yang menyaksikan persaingan utama antara Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) dan gabungan pelbagai parti yang diterajui oleh Parti Rakyat Kebangsaan (NCP) serta Jamaat-e-Islami.
Hasina kini berdepan ratusan kes berkaitan kebangkitan besar-besaran pada 2024 yang menyaksikan 1,400 orang terkorban manakala ribuan lagi cedera.
Tahun lepas, Tribunal Jenayah Antarabangsa Bangladesh menjatuhkan hukuman mati terhadap beliau selepas disabitkan bersalah atas pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
