Shamsul Ghau Ghau makin pulih, mula jalani fisioterapi

Shamsul menunjukkan perkembangan sangat positif dan memberangsangkan selepas selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di HSAAS, Serdang, pada Sabtu.
Shamsul menunjukkan perkembangan sangat positif dan memberangsangkan selepas selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di HSAAS, Serdang, pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelakon, Shamsul Ghau Ghau, 58, menunjukkan perkembangan sangat positif dan memberangsangkan selepas selamat menjalani pembedahan membuang darah beku di Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Serdang, pada Sabtu lalu.

Memetik laporan BH Online, perkembangan positif keadaan pelawak terbabit yang sudah mula menjalani fisioterapi serta boleh menggerakkan tangan dan kakinya dengan bantuan terbabit dikongsikan isterinya, Sharifah Azrinah Syed Ibrahim.

Menurut suri rumah itu, beliau berasa lega dengan perkembangan suaminya yang sudah mula menggerakkan anggota badan secara berperingkat, malah hampir semua wayar serta peralatan perubatan dipasang sebelum ini telah ditanggalkan.

“Alhamdulillah, perkembangan Abang Shamsul sangat positif dan memberangsangkan. Saya rasa sangat lega. Doktor juga memaklumkan keputusan ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) di bahagian otak kiri yang dibuat Ahad lalu menunjukkan keputusan yang baik.

“Wayar-wayar di badannya sudah dicabut dan hari ini dia sudah mula menjalani fisioterapi serta boleh menggerakkan tangan dan kakinya dengan bantuan,” katanya.

Sebelum ini, pemilik nama sebenar Shamsul Azahar Aliddin itu, yang pernah menjadi antara pelawak popular era 1990‑an, dilaporkan sedang menerima rawatan kecemasan di HSAAS, Serdang selepas mengalami pendarahan beku di bahagian otak sebelah kiri.

Sharifah Azrinah memaklumkan, doktor cuba memberi suaminya minum susu melalui tiub pada Ahad dan kemudiannya meneruskannya pada jam 6 pagi serta 9 pagi.

"Alhamdulillah, setakat ini tiada sebarang tindak balas negatif seperti muntah. Hari ini doktor akan cuba memberinya makan bubur melalui mulut," ujarnya lagi.

Kongsinya lagi, suaminya juga mampu menjawab soalan diajukan dengan baik walaupun adakalanya mengambil sedikit masa untuk memahami soalan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau bersyukur melihat perkembangan ditunjukkan Shamsul termasuklah kini sudah mampu duduk di atas atau di tepi katil, meskipun masih belum cukup kuat untuk berjalan tanpa bantuan.

Tambahnya, tempoh rawatan di hospital pula bergantung kepada perkembangan semasa Shamsul, manakala rawatan fisioterapi perlu diteruskan sama ada di hospital atau di rumah, bergantung kepada keputusan doktor.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, suami lebih banyak berdiam diri dan memikirkan komitmen penggambaran yang sedang dijalani.

“Dia risau tentang penggambaran. Saya beritahu semuanya sudah diuruskan dan pihak produksi memahami keadaannya.

“Apabila saya yakinkan dia, dia hanya diam, termenung dan air matanya mengalir. Dia angguk faham. Saya minta dia kekal kuat dan positif supaya cepat sembuh,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuklah sahabat, rakan artis, peminat yang mendoakan dan memberi sokongan kepada keluarganya.

Ringkasan AI

  • Shamsul Ghau Ghau, 58, menunjukkan perkembangan positif selepas pembedahan membuang darah beku
  • Sudah mula menjalani fisioterapi dan boleh menggerakkan tangan serta kakinya dengan bantuan
  • Hampir semua peralatan perubatan dan wayar di badannya sudah dicabut
  • Doktor memaklumkan keputusan MRI menunjukkan perkembangan yang baik
  • Masih belum cukup kuat untuk berjalan tanpa bantuan dan rawatan fisioterapi perlu diteruskan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!