Seorang lagi ahli Geng Captain Praba dibawa pulang ke Malaysia

GOMBAK – Seorang lagi ahli kumpulan penjenayah Geng Captain Praba telah dibawa pulang ke Malaysia pada Sabtu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, lelaki berusia lingkungan 30-an itu dibawa pulang dari Thailand pada jam 10.30 malam.
“Kita telah membawa pulang seorang lagi ahli kumpulan Geng Captain Praba pada jam 10.30 malam.
“Hari ini, kita akan membawa lelaki berkenaan ke mahkamah bagi permohonan reman,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Community Policing di Batu Caves, di sini, pada Ahad.
Mohd Khalid berkata, setakat ini pihak polis telah menahan 17 individu yang merupakan ahli kumpulan penjenayah berkenaan.
“Kita turut menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa Thailand dan India, dan mereka akan menghubungi kita bagi mengambil tindakan yang sewajarnya.
“Kita masih mengesan 15 individu lagi yang disyaki mempunyai kaitan dengan kumpulan penjenayah berkenaan,” katanya.
Pada Sabtu, media melaporkan polis mempergiat usaha mengesan saki-baki kumpulan penjenayah Geng Captian Praba yang dikesan melarikan diri ke luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, pihaknya percaya suspek termasuk ketua kumpulan itu meninggalkan negara menggunakan lorong tikus.
Polis kini memburu ahli kumpulan Geng Captain Praba menerusi Op Jack Sparrow selepas dipercayai menjadikan India dan Thailand sebagai lokasi persembunyian sejak September tahun lalu.
Sebelum ini, tiga ahli kumpulan berkenaan ditahan di Mumbai, India pada Ahad lalu selepas cubaan memasuki United Kingdom gagal, dan didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang sebaik tiba di negara ini pada Rabu lalu.
Ringkasan AI
- Seorang lagi ahli Geng Captain Praba dibawa pulang ke Malaysia dari Thailand
- Dibawa pulang oleh pihak berkuasa pada jam 10.30 malam
- Setakat ini, 17 individu ahli kumpulan tersebut telah ditahan
- Polis Malaysia berkerjasama dengan Thailand dan India untuk mengejar ahli kumpulan ini
- Masih ada 15 individu lagi yang dicari pihak polis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
