Dua penunggang motosikal maut kemalangan berasingan

SHAH ALAM - Dua lelaki warga tempatan maut dalam dua kemalangan berasingan yang berlaku di Kilometer (KM) 57 dan KM 72 Jalan Teluk Intan-Klang dalam tempoh tiga hari di daerah Sabak Bernam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kejadian pertama dilaporkan pada Rabu kira-kira jam 12.30 tengah hari di KM 72 Jalan Teluk Intan–Klang, Sekinchan, membabitkan dua kenderaan iaitu sebuah motosikal dan sebuah kereta.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal dari arah Sungai Besar membuat pusingan U menghala semula ke arah Sungai Besar.
“Pada masa sama, sebuah kereta dari arah Bagan Sekinchan keluar dari jalan susur untuk membelok ke arah Sungai Besar dan mengubah haluan ke lorong tengah sebelum berlanggar dengan motosikal yang turut dipercayai mengubah haluan ke lorong sama,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Beliau berkata, akibat pelanggaran itu, penunggang motosikal berkenaan disahkan meninggal dunia pada Sabtu kira-kira jam 6 pagi.
Md Yusof berkata, dalam kejadian berasingan pada Sabtu kira-kira jam 4 petang, satu lagi kemalangan maut dilaporkan di KM 57 Jalan Teluk Intan–Klang, berhampiran Simpang Lima, Sungai Besar, membabitkan sebuah van dan sebuah motosikal.
Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah van dari arah Klang menuju ke Teluk Intan memberi isyarat untuk membelok ke kiri jalan.
“Ketika pemandu sedang membelok, sebuah motosikal dari arah belakang melanggar bahagian tepi hadapan sebelah kiri van berkenaan menyebabkan penunggangnya meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Pihak polis memohon kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Siti Atikah Md Ali di talian 013-3328212.
Ringkasan AI
- Dua lelaki warga tempatan maut dalam dua kemalangan berasingan di Jalan Teluk Intan-Klang, Sabak Bernam dalam tempoh tiga hari
- Kemalangan pertama melibatkan motosikal dan kereta di KM 72, kejadian berpunca dari pusingan U motosikal
- Penunggang motosikal meninggal dunia akibat pelanggaran di KM 72
- Kemalangan kedua berlaku di KM 57 melibatkan van dan motosikal, penunggang motosikal meninggal di tempat kejadian
- Kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis meminta kerjasama saksi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

