Pentingnya nilai kepimpinan mahasiswa dalam proses melahirkan pemimpin berwibawa

Muhammad Nasir (kanan) bersama Dr. Iqbal sebelum sesi podcast secara langsung mengenai Wacana Kepimpinan Dikalangan Mahasiswa, bertempat di Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Cawangan Kelantan.
Muhammad Nasir (kanan) bersama Dr. Iqbal sebelum sesi podcast secara langsung mengenai Wacana Kepimpinan Dikalangan Mahasiswa, bertempat di Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, UiTM Cawangan Kelantan.
A
A
A

PEMBENTUKAN jati diri seseorang mahasiswa amat penting terutama semasa pengajian di sesebuah institusi pengajian.

Dalam proses membina sebuah generasi masa kini yang holistik dan berdaya saing, nilai kepimpinan menjadi inspirasi buat seseorang pelajar universiti sebelum menempuh alam dewasa yang penuh dengan cabaran dan realiti kehidupan.

Ramai yang sedia maklum, bahawa pada era kini, generasi hari ini atau Gen Z semakin terpengaruh dengan nilai sosial di alam maya malah dijadikan sebagai sumber rujukan utama.

Jika sumber yang dirujuk memberi ilmu pengetahuan yang baik serta bermanfaat, maka pembentukan nilai kepimpinan terhadap seseorang mahasiswa universiti menjadi baik.

Jika tidak, maka kesan negatif boleh mempengaruhi minda mereka dan memberi pengaruh yang buruk diri sendiri serta kepada rakan sebaya.

Oleh yang demikian, golongan dewasa yang lebih matang digalakkan memberi panduan dan contoh yang baik kepada Gen Z.

Pentingnya nilai kepimpinan tersebut bermula daripada golongan dewasa dan memberi tunjuk ajar kepada generasi muda.

Antara proses yang perlu ada terhadap nilai kepimpinan adalah seperti peka dengan isu semasa, mengambil iktibar dari tauladan masyarakat, rajin berusaha, tidak mudah mengalah serta bijak dalam pengurusan masa dan kewangan.

Ia memberi kesan yang baik kepada seseorang mahasiswa dan boleh dijadikan sebagai bekalan sebelum menempuhi alam pekerjaan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Nasir (duduk, kanan) bersama Timbalan Rektor PJIM&A dan staf Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan.
Muhammad Nasir (duduk, kanan) bersama Timbalan Rektor PJIM&A dan staf Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan.

Semasa sesi podcast bersama Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, beliau menyarankan kepada golongan mahasiswa agar fokus kepada pelajaran, solat dan mengaji al-Quran serta bersyukur agar berupaya menjadi insan yang cemerlang di dunia dan akhirat.

Beliau menyatakan fokus merupakan kunci kejayaan seseorang mahasiswa terutama dalam membentuk diri menjadi seorang pemimpin yang berkaliber dan berjaya.

"Malah ia dapat memberi ruang kepada mahasiswa untuk sentiasa memperbaiki kelemahan diri dan mempengaruhi rakan sepengajian untuk rajin berusaha serta tidak mudah mengalah dengan cabaran dan ujian," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi podcast bertajuk Wacana Kepimpinan: Inspirasi Dunia Sebenar Buat Mahasiswasempena ReIACT’s Podcast Siri 2/2026, melalui saluran Youtube rasmi UiTM Cawangan Kelantan, Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, dengan kerjasama Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, UiTM Cawangan Kelantan.

Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan seseorang manusia di dunia ini yang tidak terlepas daripada dugaan dan melakukan kesilapan.

Ia merupakan proses pembelajaran jangka panjang dan dijadikan sebagai pengalaman yang baik.

Oleh itu, demi meneruskan impian dan cita-cita selepas tamat pengajian, mahasiswa seharusnya tidak meninggalkan kewajipan sebagai seorang muslim, antaranya solat dan mengaji al-Quran.

Muhammad Nasir menyatakan dua perkara ini menjadi tunjang tidak hanya kepada seseorang muslim, tetapi memberi panduan dalam kehidupan seharian khususnya kepada golongan mahasiswa yang masih muda dan kurang berpengalaman.

Malah beliau menyatakan bahawa fokus, menjadi ramuan terbaik kepada seseorang mahasiswa dalam mencapai objektif dan matlamat semasa pengajian dan selepas tamat pengajian.

"Melalui fokus, golongan muda yang kurang berpengalaman ini tidak mudah dipengaruhi dengan perkara negatif dan tidak bermanfaat, apatah lagi jika melihat dari aspek pengaruh rakan sebaya dan sosial media yang semakin berleluasa dan mudah diakses tidak kira masa dan lokasi," katanya.

Beliau berkata, sesuai dengan teknologi hari ini adalah menjadi normal dalam kalangan Gen Z mengakses segala informasi menggunakan telefon pintar.

"Tetapi amat penting kepada golongan mahasiswa masa kini agar memanfaatkan teknologi alam maya dengan bijak, bermoral dan beretika sama ada untuk tujuan akademik atau bersosial," katanya.

Malah katanya, kecemerlangan akademik dikalangan mahasiswa hari ini juga menjadi penanda aras kepada nilai kepimpinan dan keupayaan mereka berdasarkan akses internet tanpa batas.

"Walaupun begitu, adab sopan dan budaya saling menghormati menjadi pemangkin kepada golongan muda ini agar terus mengekalkan nilai ketimuran walaupun menghadapi kesan pembangunan setempat dan kecanggihan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan atau AI," katanya.

Melalui AI, katanya, sesebuah teks atau imej yang dijana oleh komputer menjadi mudah dan menjimatkan masa.

"Maka di sinilah kepentingan nilai kepimpinan dalam kalangan mahasiswa, iaitu saling memberi contoh yang baik serta beretika terutama ketika dalam proses menjalankan kajian, menyiapkan tugasan, menngumpul data dan sebagainya," katanya.

Contohnya seseorang mahasiswa memberi fokus kepada kajian yang dijalankan, beretika ketika ingin merujuk sesebuah sumber ilmiah, bersyukur dan tidak mudah mengalah serta sentiasa berusaha dan tawakal.

Muhammad Nasir turut menasihati golongan mahasiswa agar mengamalkan komunikasi yang baik sama ada dengan rakan sebaya, pensyarah dan golongan profesional serta kedua ibubapa.

Menurut beliau, komunikasi juga merupakan antara kemahiran yang perlu ada dalam nilai kepimpinan yang baik.

Hal demikian dapat membantu mewujudkan perbincangan dua hala serta memberi ruang kepada kedua belah pihak berkongsi pandangan dan pendapat masing-masing.

"Ia merupakan antara kemahiran yang sangat berguna terutama ketika ingin mencapai objektif dan sasaran apabila bekerja dalam sesebuah kumpulan atau organisasi," katanya.

* Dr. Mohammed Iqbal Badaruddin ialah pensyarah di Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka UiTM Cawangan Kelantan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!