Apabila kepercayaan runtuh: Krisis tadbir urus dan masa depan negara

PENDEDAHAN isu tadbir urus yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) baru-baru ini telah mencetuskan kegelisahan dalam kalangan masyarakat umum di negara ini.
Namun, isu sebenar tidak seharusnya diukur semata-mata pada nilai kerugian atau individu yang terpalit, sebaliknya pada implikasi yang jauh lebih besar, iaitu hakisan kepercayaan awam terhadap institusi dan pentadbiran negara.
Ia memberi cerminan yang kepercayaan, harapan dan amanah masyarakat telah dikhianati.
Apabila sebuah institusi strategik yang menjadi simbol kedaulatan telah tercalar, kesannya tidak lagi bersifat terhad atau sementara sebaliknya ia dilihat bersifat sistemik yang berupaya mendatang kemudaratan yang besar kepada negara.
Kepercayaan awam merupakan asas dan elemen utama kepada kestabilan dan keberkesanan sesebuah negara.
Ia menentukan sejauh mana kesanggupan rakyat bersedia mematuhi undang-undang, ketahanan dalam menghadapi cabaran, menyokong dasar yang sukar, serta berkorban demi kepentingan bersama.
Negara yang kehilangan kepercayaan rakyat akan berhadapan dengan krisis legitimasi, walaupun masih memiliki struktur pentadbiran yang lengkap.
Dalam jangka panjang, defisit kepercayaan ini jauh lebih berbahaya berbanding defisit kewangan. Kehilangan kepercayaan di kalangan rakyat merupakan kerugian yang sukar dipulihkan.
ATM bukan sekadar sebuah agensi kerajaan, tetapi institusi yang dibina atas nilai disiplin, amanah dan pengorbanan tertinggi untuk negara.
Justeru, apabila isu ketirisan dan kelemahan tadbir urus dikaitkan dengannya, kesan psikologi terhadap rakyat menjadi berlipat kali ganda.
Ia mencetuskan persoalan tentang keberkesanan sistem kawalan dalaman, mekanisme pengawasan serta budaya akauntabiliti dalam keseluruhan perkhidmatan awam.
Persoalan ini wajar dilihat sebagai tanda keprihatinan rakyat terhadap negara, bukan ditanggapi sebagai ancaman kepada institusi.
Lebih penting, isu ini tidak wajar dianggap sebagai kes terpencil. Dalam pengalaman pentadbiran di banyak negara, ketirisan jarang berlaku secara bersendirian.
Ia lazimnya berpunca daripada kelemahan struktur, kegagalan sistem semak dan imbang, serta budaya organisasi yang terlalu bertolak ansur terhadap pelanggaran integriti.
Apabila satu kes terbongkar, ia sering kali hanyalah pendedahan awal kepada masalah yang lebih mendalam dan berakar dalam sistem.
Naratif bahawa kegagalan tadbir urus hanyalah kesalahan segelintir individu perlu ditanggapi dengan berhati-hati.
Walaupun tindakan tegas terhadap individu yang bersalah adalah perlu, pendekatan ini tidak mencukupi jika sistem yang memungkinkan salah laku tersebut terus dibiarkan.
Individu tidak beroperasi dalam ruang vakum; mereka bergerak dalam ekosistem pentadbiran yang dibentuk oleh peraturan, budaya kerja dan tahap penguatkuasaan.
Tanpa pembetulan yang menyeluruh dan sistemik dalam sesebuah institusi akan menyebabkan kes yang sama berpotensi berulang dalam bentuk dan lokasi yang berbeza.
Justeru itu, reformasi institusi sangatlah penting dilakukan supaya dapat membendung dari terus merebak.
Kesan krisis kepercayaan ini terhadap negara bersifat jangka panjang dan menyeluruh. Dari sudut ekonomi, integriti institusi merupakan faktor penting dalam membina keyakinan pelabur.
Ketirisan berlaku secara berulang dan berterusan akan meningkatkan kos, mendedahkan kepada risiko, menjejaskan daya saing dan melemahkan keupayaan negara menarik pelaburan berkualiti.
Pastinya kelemahan ekosistem seumpama ini akan membantutkan pembangunan ekonomi negara.
Dari sudut sosial pula, penjawat awam yang berintegriti berisiko kehilangan motivasi apabila usaha jujur mereka tidak dihargai, manakala pelanggaran amanah dilihat tidak ditangani secara tuntas.
Kesannya bakat-bakat dalam perkhidmatan awam tidak digunakan dengan optimum.
Penjawat awam yang jujur dan kompeten tidak mendapat tempat yang sewajarnya sebaliknya mereka yang kurang kompeten diberikan tanggingjawab yang besar yang akhirnya tidak berupaya melaksanakan amanah yang diberikan kepada mereka.
Lebih buruk lagi apabila terdapat segelintar penjawat awam yang tidak melaksanakan amanah dengan sewajarnya sebaliknya menyalah guna amanah untuk kepentingan peribadi.
Kesanya akan menjejaskan akauntabiliti untuk menyampaikan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat dan negara.
Dalam konteks keselamatan negara, isu tadbir urus juga merupakan ancaman bukan tradisional yang serius.
Ketahanan nasional bukan hanya bergantung kepada kekuatan aset ketenteraan, tetapi turut ditentukan oleh tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi keselamatan.
Apabila kepercayaan ini terhakis, ia membuka ruang kepada ketidakstabilan dalaman, manipulasi persepsi dan eksploitasi kelemahan oleh pihak berkepentingan, sama ada dari dalam atau luar negara.
Sejarah memberikan amaran yang jelas dan berulang. Banyak ketamadunan besar runtuh bukan kerana kekurangan kekuatan fizikal, tetapi akibat kerosakan dari dalam pentadbiran mereka sendiri.
Korupsi, pembaziran dan pengkhianatan amanah telah melemahkan struktur negara secara perlahan tetapi berterusan.
Apabila kepercayaan rakyat hilang, kesetiaan bertukar menjadi keterpaksaan, dan keterpaksaan tidak pernah menjadi asas yang kukuh untuk mempertahankan sesebuah negara.
Rencana ini tidak bertujuan menilai mana-mana kes secara perundangan atau menyasarkan institusi tertentu secara khusus.
Sebaliknya, ia mengajak pembaca melihat isu tadbir urus dari sudut kepentingan negara dan kelangsungan masa depan.
Kritikan terhadap sistem adalah tanda kepedulian, bukan penafian kesetiaan kepada institusi atau negara.
Justeru, isu tadbir urus yang timbul hari ini perlu dilihat sebagai amaran awal kepada seluruh jentera pentadbiran.
Tindakan undang-undang yang tegas adalah penting, tetapi lebih utama ialah keberanian politik dan institusi untuk melaksanakan pembaharuan menyeluruh.
Ini termasuk memperkukuh mekanisme pengawasan, meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kewangan dan perolehan, serta menegakkan akauntabiliti tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
Reformasi tadbir urus bukan bertujuan menjatuhkan institusi, sebaliknya untuk memulihkan maruah dan kekuatannya.
Institusi yang benar-benar kuat ialah institusi yang berani mengakui kelemahan dan memperbaikinya, bukan yang mempertahankan imej dengan menutup masalah.
Dalam jangka masa panjang, kepercayaan awam hanya dapat dipulihkan melalui tindakan konsisten dan berprinsip, bukan retorik semata-mata.
Akhirnya, masa depan negara bergantung kepada sejauh mana krisis kepercayaan ini ditangani dengan serius.
Negara masih boleh pulih daripada kerugian kewangan, tetapi kehilangan kepercayaan rakyat adalah kerugian strategik yang mahal dan sukar dipulihkan.
Sejarah telah lama memberikan peringatan: negara tidak runtuh kerana musuh dari luar semata-mata, tetapi kerana kegagalan membetulkan kelemahan dari dalam.
Pilihan di hadapan kita jelas — bertindak tegas hari ini demi menyelamatkan masa depan, atau menanggung akibat yang lebih besar pada kemudian hari.
* Prof Dr Mohd Abdullah Jusoh, Jabatan Pengurusan Lojistik dan Pentadbiran Perniagaan, Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
