Proses tender segmen kedua LRT Mutiara masih dalam proses penilaian - Kon Yeow


GEORGE TOWN - Proses tender bagi segmen kedua projek Laluan Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara di negeri ini masih dalam proses penilaian dan belum dianugerahkan kepada mana-mana pihak.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, segmen pertama projek berkenaan yang melibatkan kerja-kerja kejuruteraan awam dari Pulau Silicon ke Komtar dan Macallum telah dianugerahkan kepada SRS Consortium melalui rundingan terus berikutan obligasi kontrak antara kontraktor berkenaan dengan kerajaan negeri.
“Tender telah dipanggil bagi segmen kedua yang melibatkan kerja dari Macallum ke Penang Sentral dan difahamkan Gamuda Bhd turut menghantar bidaan untuknya,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini pada Selasa.
Ketika ditanya sama ada Gamuda Bhd telah menarik diri daripada tender berkenaan, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu.
“Saya hanya membacanya (laporan) sahaja, sebenarnya mereka tidak perlu pun memaklumkan kepada kita.
“Daripada apa yang saya baca, mereka menarik diri daripada proses tender bagi segmen kedua kerana mahu memberi tumpuan kepada projek sedia ada iaitu segmen pertama,” tambahnya.
Kon Yeow berkata, keputusan Gamuda Bhd untuk menumpukan perhatian kepada segmen pertama adalah sesuatu yang baik bagi negeri ini memandangkan kerja-kerja di lokasi itu melibatkan pengurusan trafik yang kompleks apabila projek dilaksanakan sepenuhnya.
“Mungkin itu juga sebab mereka menarik diri dan saya rasa ia tidak akan menjejaskan prestasi mereka dalam melaksanakan segmen pertama,” katanya.
Beliau percaya langkah itu mungkin akan meningkatkan prestasi syarikat berkenaan kerana dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada segmen pertama.
Sebuah akhbar berbahasa Cina sebelum ini melaporkan bahawa Gamuda Bhd mungkin menarik diri daripada membida bagi segmen kedua projek bernilai RM8 bilion itu untuk memberi tumpuan kepada kontrak sedia ada bernilai RM38 bilion bagi segmen pertama.
Turut dilaporkan bahawa MRCB, YTL Corporation dan Sunway Construction telah menyatakan minat untuk membida projek berkenaan.
Tambah Kon Yeow, pemilik projek iaitu MRT Corporation masih menilai tender yang dikemukakan bagi segmen kedua projek tersebut.
Dalam satu perkembangan berasingan, Kon Yeow memaklumkan bahawa kerajaan negeri menyambut baik permulaan kerja lapangan bagi Pakej 1 Projek Penyuraian Trafik antara Plaza Tol Juru dan Plaza Tol Sungai Dua (PTJSD) yang bermula pada Selasa.
“Difahamkan projek PTJSD ini terdiri daripada beberapa pakej dan pelaksanaan kini dimulakan dengan Pakej 1 yang melibatkan kawasan jalan perkhidmatan berhampiran hospital.
“Setakat ini, kerja-kerja tersebut belum melibatkan laluan utama lebuh raya,” katanya.
Beliau menambah bahawa pakej-pakej lain akan ditawarkan kepada kontraktor yang berkenaan dari semasa ke semasa dan kerajaan negeri berharap keseluruhan projek itu dapat disiapkan dalam tempoh antara empat hingga lima tahun seperti yang dirancang.
Ringkasan AI
- Proses tender bagi segmen kedua projek LRT Mutiara di Penang masih dalam penilaian dan belum diberi kepada mana-mana pihak
- Segmen pertama projek LRT dari Pulau Silicon ke Komtar dan Macallum telah dianugerahkan kepada SRS Consortium
- Gamuda Bhd menghantar bidaan untuk segmen kedua tetapi tidak dimaklumkan secara rasmi telah menarik diri daripada tender tersebut
- Keputusan Gamuda Bhd menarik diri dikatakan untuk memberi tumpuan kepada projek sedia ada iaitu segmen pertama
- Pemilik projek MRT Corporation masih menilai tender yang dikemukakan bagi segmen kedua projek tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

