Tahun Satu enam tahun: Mulakan dengan kohort kelahiran

CADANGAN kerajaan untuk membenarkan kanak-kanak berumur enam tahun memasuki Tahun Satu merupakan satu langkah yang wajar dibincangkan secara matang dan berfakta.
Di peringkat global, amalan ini bukan sesuatu yang luar biasa. Menurut data Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), majoriti negara maju memulakan pendidikan formal antara umur lima hingga enam tahun, termasuk United Kingdom, Australia, Perancis dan Korea Selatan.
Namun, pengalaman antarabangsa juga menunjukkan bahawa kejayaan dasar itu tidak terletak pada umur semata-mata, tetapi pada cara pelaksanaannya.
Secara prinsip, penulis bersetuju dengan kemasukan murid seawal usia enam tahun ke Tahun Satu. Namun, pelaksanaannya perlu diperhalusi oleh pihak kerajaan.
Cadangan untuk terus memulakan pada tahun 2027 dianggap sebagai tergesa-gesa tanpa melihat aspek kesediaan yang ada di lapangan.
Penulis mencadangkan agar dasar tersebut dibuat mengikut kohort tahun kelahiran dan secara berperingkat, mencadangkan agar Tahun Satu pada umur enam tahun ini bermula pada bayi yang dilahirkan pada tahun 2026.
Ini memberi sekurang-kurangnya 5 tahun tahun iaitu tahun 2032 untuk pihak Kementerian Pendidikan (KPM) menyediakan keperluan yang diperlukan dan berada dalam keadaan benar-benar bersedia.
Harus diingat, Pendidikan merupakan satu ekosistem yang kompleks dan sebarang perubahan struktur memerlukan tempoh peralihan yang terancang agar sistem tidak terkejut dan kualiti tidak terjejas.
Dari sudut perancangan fasiliti dan infrastruktur, pendekatan kohort amat penting.
Kemasukan murid enam tahun secara mengejut boleh menyebabkan kepadatan kelas, kekurangan bilik darjah serta tekanan terhadap kemudahan sokongan sekolah.
Pengalaman negara-negara OECD menunjukkan bahawa perubahan umur kemasukan sekolah perlu disokong dengan unjuran enrolmen jangka sederhana dan panjang.
Pendekatan berfasa membolehkan kerajaan merancang pembinaan sekolah, penambahan kelas serta pengagihan sumber secara lebih sistematik dan berasaskan data.
Cadangan untuk menggunakan Pembangunan Bilik Darjah menggunakan sistem IBS bukanlah penyelesaikan tuntas. Bilik darjah boleh ditambah, tetapi perancangan sekitar seperti peningkatan trafik juga akan timbul.
Aspek kesediaan guru juga tidak boleh diketepikan. Kanak-kanak berumur enam tahun berada pada fasa perkembangan kognitif, emosi dan sosial yang berbeza berbanding murid 7 tahun.
Laporan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) berkaitan Early Childhood Care and Education (ECCE) menegaskan bahawa peralihan daripada pembelajaran berasaskan bermain kepada pembelajaran formal perlu dikendalikan secara berhati-hati.
Ini menuntut latihan khusus kepada guru, penyesuaian pendekatan pedagogi serta pemahaman mendalam terhadap psikologi perkembangan kanak-kanak.
Tanpa persediaan ini, risiko tekanan emosi dan kehilangan minat belajar dalam kalangan murid adalah tinggi.
Dari perspektif dasar awam, reformasi pendidikan seperti itu perlu dilihat sebagai perancangan jangka sederhana dan panjang.
Secara teorinya, sesuatu perubahan struktur dalam sistem pendidikan memerlukan sekurang-kurangnya satu kitaran kohort untuk dinilai keberkesanannya.
Pendekatan tersebut memberi ruang kepada kerajaan untuk membuat penilaian berasaskan bukti, menambah baik pelaksanaan serta mengelakkan kesan sampingan yang tidak diingini terhadap kualiti pembelajaran.
Selain itu, kesediaan pemikiran ibu bapa dan kesedaran awam merupakan elemen kritikal dalam menjayakan dasar ini.
Di banyak negara, tekanan akademik terlalu awal dikenal pasti sebagai faktor yang boleh menjejaskan perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak.
Justeru, kemasukan awal ke Darjah Satu tidak seharusnya dilihat sebagai satu perlumbaan akademik, sebaliknya sebagai satu proses perkembangan yang memerlukan kesediaan anak.
Program kesedaran awam, bimbingan keibubapaan dan komunikasi dasar yang jelas perlu diperkasakan agar ibu bapa memahami objektif sebenar reformasi ini.
Dasar kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu ini harus disokong secara dasar oleh semua pihak demi kebaikan negara yang akan mengalami negara menua dan menjadi satu langkah reformasi yang selari dengan amalan antarabangsa.
Namun, ia tidak boleh dilaksanakan secara tergesa-gesa. Pendekatan ‘soft landing’ yang berfasa, berasaskan kohort kelahiran memberi ruang untuk semua pihak, membuat perancangan yang rapi.
Harus diingat, perubahan dalam system pendidikan yang mampan bukanlah yang paling pantas, tetapi yang paling bersedia untuk masa depan generasi negara.
*Sr Ts Gs Dr Muhammad Azwan Sulaiman ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Alam Bina, Universiti Teknologi MARA Shah Alam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
