Soalnya mudah: Cukup tak duit hujung bulan?

Kadar peningkatan kos sara hidup boleh meningkat lebih cepat dari kadar kenaikan pendapatan, walaupun ekonomi berkembang.
Kadar peningkatan kos sara hidup boleh meningkat lebih cepat dari kadar kenaikan pendapatan, walaupun ekonomi berkembang.
A
A
A

SEJAK akhir-akhir ini, saya banyak berbual dengan rakyat di seluruh Malaysia. Rata-rata, ada satu mesej jelas: rakyat ‘percaya’ dengan apa yang dirasai melalui dompet mereka dan bukan perkhabaran disampaikan melalui pelbagai laporan pertumbuhan ekonomi.

Buat masa ini, ramai rakyat Malaysia tidak langsung rasa tersentuh oleh naratif pertumbuhan ekonomi yang sering dilaporkan. Harga barang dapur, kos penjagaan anak, sewa rumah, insurans dan pengangkutan terus menekan kehidupan harian. Ekonomi sememangnya nampak kukuh di atas kertas. Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dianggarkan berkembang 4.9 peratus pada 2025, melebihi jangkaan. Pelaburan, perdagangan, pekerjaan dan nilai ringgit juga merekodkan perkembangan positif.

Namun bagi kebanyakan isi rumah, realiti seharian dirasakan bukan semakin mudah tetapi semakin sempit. Ini menimbulkan persoalan besar: adakah kerajaan benar-benar memahami tekanan yang rakyat hadapi setiap hari?

Cerita di sebalik KDNK

KDNK mengukur nilai barangan dan perkhidmatan dihasilkan dalam ekonomi. Tetapi ia tidak mengukur kenaikan gaji rakyat, harga barang dapur yang lebih berpatutan atau keyakinan sesebuah keluarga tentang masa depan mereka.

Ini bukan hujah menentang KDNK. KDNK penting untuk melihat sama ada ekonomi berkembang dan negara mempunyai sumber untuk melabur dan membantu rakyat. Tetapi jika kita fokus hanya kepada KDNK, kita pasti terlepas pandang pelbagai masalah utama.

Pertama, kadar peningkatan kos sara hidup boleh meningkat lebih cepat dari kadar kenaikan pendapatan, walaupun ekonomi berkembang. Maknanya, ekonomi mungkin berkembang, tetapi kuasa beli rakyat menyusut.

Kedua, pertumbuhan ekonomi yang tidak sekata dan sering tertumpu pada industri besar dan sektor eksport, sedangkan ramai rakyat Malaysia bekerja dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan di dalam sektor gig yang tidak semestinya menikmati manfaat pertumbuhan KDNK tersebut.

Ketiga, pekerjaan sahaja tidak mencukupi. Rakyat mahukan penambahbaikan hidup yang bermakna — kenaikan gaji, perkembangan kerjaya, dan masa depan yang lebih terjamin.

Artikel Berkaitan:

Akhir sekali, KDNK ialah angka teknikal yang dilaporkan setiap suku tahun. Tekanan hidup pula merupakan pengalaman peribadi yang dirasai setiap hari. Keluarga berpendapatan sederhana sering merasa paling terhimpit — mereka mungkin tidak layak menerima bantuan kerajaan, tetapi pendapatan atau simpanan juga tidak cukup untuk keselamatan ekonomi mereka. Situasi ekonomi dinilai dengan satu soalan mudah: berapa banyak duit yang tinggal di hujung bulan?

Di bawah kerangka Ekonomi Madani, kerajaan cuba meringankan poket rakyat melalui subsidi bersasar dan bantuan tunai. Semasa saya di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), antara fokus kami ialah peningkatan produktiviti — termasuk persediaan tenaga kerja era kecerdasan buatan (AI) di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Tetapi, walaupun ramai percaya kerajaan prihatin, ramai juga merasakan mesej kerajaan tidak berempati dengan cabaran harian mereka. Persepsi ini penting, kerana kepercayaan terhadap pengurusan ekonomi bukan hanya tentang keberhasilan — tetapi juga tentang sama ada rakyat merasakan hal mereka diambil peduli.

Sebab itulah selain dasar, kita juga perlu pastikan rakyat benar-benar menikmati kejayaan ekonomi negara yang perlu dirakyatkan dari sudut Ekonomi Rakyat.

Apa makna Ekonomi Rakyat?

Pada dasarnya, Ekonomi Rakyat mengukur dan mengurus ekonomi berdasarkan kelangsungan hidup rakyat, selari dengan pemantauan angka-angka rasmi ekonomi.

KDNK menjelaskan tentang saiz ekonomi. Ekonomi Rakyat pula menggambarkan tentang kesejahteraan kehidupan rakyat. Malangnya, jurang antara pertumbuhan ekonomi dan keselamatan ekonomi rakyat semakin meluas setiap kali berlakunya krisis seperti Krisis Kewangan Global 2008, pandemik Covid-19 dan lonjakan kos sara hidup pasca-pandemik.

Walaupun KDNK pelbagai negara berkembang pasca-pandemik, namun perkembangan ini tidak sekata. Rata-rata, boleh dikatakan rakyat semakin kurang berupaya untuk mengatasi cabaran harian mereka. Contohnya, peningkatan gaji yang tidak seiring dengan kenaikan harga membuat mereka rasa kurang selamat.

Apabila dasar digubal dari lensa Ekonomi Rakyat, ia akan mengambil kira realiti kehidupan seharian rakyat secara langsung. Ini bukan perubahan ideologi tetapi merupakan respons yang lebih berasas kepada realiti sebenar dihadapi rakyat. Ia juga memberi implikasi serius kepada kestabilan negara kerana populisme atau ekstremisme akan segera timbul apabila kepercayaan kian runtuh.

Fenomena ini telah menjejaskan banyak negara Barat. Ia juga boleh membawa padah jika ia berakar umbi di Malaysia.

Membina kepercayaan

Kita tidak akan dapat bertahan, apatah lagi berkembang maju, jika tiada kepercayaan dalam komuniti. Dalam membina semula kepercayaan rakyat, kerajaan perlu menunjukkan keberhasilan yang berterusan dan boleh dipercayai, serta terus melaksanakan reformasi struktur demi pertumbuhan yang mampan dan meluas.

Justeru, naratif Ekonomi Rakyat yang jelas adalah penting, terutamanya bagi membuktikan bahawa kerajaan memahami penderitaan rakyat dan sedang atau telah melaksanakan tindakan sewajarnya. Jika tidak, kelompongan yang terhasil akan mudah terisi dengan kemarahan, hilang kepercayaan dan penggambaran setiap isu sebagai kegagalan kerajaan.

Apabila rakyat percaya kerajaan prihatin dan bertindak demi kepentingan rakyat, lebih mudah untuk mereka menyokong pembaharuan dan inisiatif berkaitan diperlukan.

Pembudayaan dan penceritaan

Berkomunikasi mengenai Ekonomi Rakyat perlu bermula dengan pengiktirafan bahawa apa yang diperlukan oleh rakyat ialah kejujuran, bukan putar belit; empati, bukan leteran dan sokongan praktikal, bukan retorik.

Dasar dan mesej perlu beralih daripada program kepada keberhasilan dan pertumbuhan KDNK yang perlu dikaitkan dengan impak meluas. Persoalan utama adalah sama ada dasar ini akan memudahkan kehidupan rakyat Malaysia pada masa kini dan masa hadapan.

Dasar dan mesej juga perlu mengiktiraf segala kekangan secara jujur tanpa bersikap defensif serta mengaitkan inisiatif dengan pelaksanaan dan hasil jelas.

Yang pasti, pengalaman sentiasa lebih penting berbanding penceritaan. Jika kerajaan mengutamakan penjelasan sebelum memperlihatkan hasil, mesej itu akan dianggap sebagai putar belit. Keberhasilan mewujudkan kredibiliti yang mengukuhkan keberkesanan komunikasi.

Walaupun rangka kerja Ekonomi Madani telah memberi penekanan sewajarnya terhadap kos sara hidup, sasaran subsidi dan pendapatan isi rumah, naratif lebih sensitif terhadap situasi rakyat masih diperlukan. Mesej kerajaan perlu diterjemah sebagai Ekonomi Rakyat bagi memulihkan kepercayaan, memperkukuh tadbir urus dan mengekalkan keyakinan awam terhadap masa depan Malaysia.

Hakikatnya, apabila dasar ekonomi diukur melalui pengalaman hidup serta prestasi makro, pertumbuhan menjadi lebih bermakna kepada rakyat dan kepercayaan akan dapat dibina semula, insya-ALLAH.

*Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang juga bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!