Eksplotasi ayat al-Quran, restoran guna logo tidak sah diserbu

TELUK INTAN – Sebuah restoran di daerah ini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak selepas disyaki menggunakan logo halal tidak sah.
Serbuan pada jam 1 petang pada Rabu itu turut mengesan pemilik premis mengeksploitasi kalimah ALLAH dan ayat suci al-Quran bagi menarik kehadiran pelanggan.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, pemeriksaan mendapati premis terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen perakuan atau pengesahan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Premis tersebut juga didapati menggunakan dua pekerja bukan beragama Islam sepenuhnya dalam penyediaan makanan dan minuman termasuk tukang masak," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.
Beliau, pemilik premis telah dikenakan tindakan dan ditahan bagi tujuan pengambilan keterangan untuk siasatan lanjut.
Katanya, dalam serbuan itu, pasukan penguat kuasa turut menyita beberapa barangan berkaitan termasuk set kalimah ALLAH dan Muhammad diperbuat daripada kayu dan plastik, satu al-Quran hiasan dinding serta salinan Lesen Majlis Perbandaran Teluk Intan dan Daftar Perniagaan (SSM).

"Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM500.
"Siasatan dijalankan di bawah Perenggan 4, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011," katanya.
Menurut Kamalludin, KPDN memandang serius penggunaan takrif halal, ayat suci al-Quran serta logo halal tidak sah kerana perbuatan itu boleh memperdaya dan mengelirukan pengguna, khususnya orang Islam.
Beliau turut mengingatkan pengusaha restoran dan syarikat supaya sentiasa berhati-hati dan memastikan setiap makanan, barangan, perkhidmatan hanya menggunakan perakuan serta penandaan halal yang sah daripada pihak berwibawa.
"Penggunaan sebarang ungkapan atau representasi halal perlu mematuhi peruntukan undang-undang yang ditetapkan,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau aduan berkaitan kesalahan perihal halal boleh menyalurkan aduan kepada KPDN melalui aplikasi WhatsApp di 019-848 8000, portal e-Aduan KPDN, talian 1-800-886-800 atau aplikasi telefon pintar Ez Adu KPDN.
Ringkasan AI
- Restoran di Teluk Intan diserbu kerana menggunakan logo halal tidak sah
- Pemilik restoran turut menggunakan kalimah ALLAH dan ayat suci al-Quran untuk menarik pelanggan
- Tidak dapat mengemukakan dokumen perakuan halal Jakim
- Premis menggaji dua pekerja bukan beragama Islam dalam penyediaan makanan
- Barangan sitaan bernilai RM500 termasuk set kalimah ALLAH dan Muhammad serta al-Quran hiasan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

