Sindiket judi 'online' warga asing di Bukit Bintang tumpas

KUALA LUMPUR - Sindiket perjudian dalam talian warga asing yang berselindung di sebalik rumah sewa dan premis perniagaan kecil di sekitar ibu negara digempur pada Isnin.
Serbuan bermula jam 10.30 malam dijalankan di sekitar Bukit Bintang meliputi Jalan Alor, Jalan Changkat dan Jalan Bedara oleh Pasukan Taktikal Khas (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya hasil risikan selama sebulan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, sindiket perjudian dalam talian ini menyasarkan warga asing sebagai pelanggan utama dengan modus operandi menawarkan pelaburan wang dalam jumlah kecil antara RM50 hingga RM500 bagi setiap individu dengan janji pulangan keuntungan yang tinggi dalam tempoh singkat.
Menurutnya, premis-premis ini beroperasi setiap hari dan semakin aktif khususnya pada waktu malam hingga lewat pagi.
"Sindiket ini didapati mengamalkan kawalan keselamatan yang ketat dengan melantik warga asing sebagai penjaga atau 'captain'.
"Penjaga ini juga akan membuat pengecaman wajah sebagai tapisan pelanggan sebelum dibenarkan masuk," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, lokasi-lokasi serbuan dipercayai merupakan pusat operasi sindiket.
Tambahnya, pasukan operasi telah melakukan pemeriksaan ke atas 31 lelaki warga asing dan dua lelaki tempatan.
"Hasil pemeriksaan, seramai 19 individu terdiri daripada 12 lelaki Bangladesh, empat lelaki Myanmar dan tiga lelaki Indonesia berumur di antara 21 hingga 50 tahun telah ditahan.
"Kesemua yang ditahan dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan tinggal lebih masa di negara ini," ujarnya.
Kata Zakaria, selain itu, dua lelaki dan seorang wanita tempatan telah diberikan notis untuk hadir ke Pejabat Imigresen bagi membantu siasatan lanjut.
"Dalam operasi ini, pasukan operasi telah merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan oleh sindiket berkenaan melibatkan 59 unit tablet pelbagai jenama, tiga unit monitor, tiga unit dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan satu unit CCTV wifi," katanya.
Tegasnya, kejayaan operasi ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam melaksanakan penguatkuasaan.
"JIM memberi jaminan akan meneruskan tindakan tegas dan bersepadu terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, PeraturanPeraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).
Ringkasan AI
- Sindiket perjudian dalam talian warga asing digempur di sekitar Bukit Bintang, Kuala Lumpur
- Serbuan hasil risikan selama sebulan dan bermula jam 10.30 malam
- Sindiket menargetkan warga asing dengan menawarkan pelaburan wang antara RM50 hingga RM500 untuk pulangan keuntungan tinggi
- Pasukan operasi menahan 19 individu warga asing tanpa dokumen perjalanan sah
- Peralatan sindiket termasuk tablet, monitor, dan sistem CCTV dirampas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
