Suami isteri warga Indonesia ditahan seludup migran, edar dadah

Suspek warga Indonesia ditahan dalam Op Pintas/Tapis Bersepadu di Pontian.
Suspek warga Indonesia ditahan dalam Op Pintas/Tapis Bersepadu di Pontian.
A
A
A

PONTIAN – Polis menahan pasangan suami isteri warga Indonesia dalam Op Pintas/Tapis Bersepadu di sini, pada Isnin kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran dan pengedaran dadah.

Menurut Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussien Mion Hussain, lelaki dan wanita berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan di kawasan Kampung Parit Haji Yassin, Benut di sini, pada jam 1.20 petang.

“Polis turut merampas empat telefon bimbit pelbagai jenama, satu beg sandang, satu beg plastik hitam serta satu paket lutsinar berisi 500 biji pil disyaki pil ekstasi dengan anggaran berat 184.54 gram.

“Selain itu, polis juga merampas satu paket lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu yang dianggarkan seberat 231.77 gram.

“Nilai keseluruhan rampasan berkenaan dianggarkan berjumlah RM61,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambah Hadzrat Hussien, hasil saringan ujian air kencing mendapati pasangan suami isteri tersebut positif dadah jenis methamphetamine.

Katanya, lelaki berkenaan yang disyaki berperanan sebagai tekong darat ditahan di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012, manakala isterinya ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

“Kes juga disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman penjara atau denda tidak kurang RM10,000 atau kedua-duanya sekali, selain boleh dikenakan maksimum enam sebatan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kes turut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 15 sebatan, selain Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda serta pengawasan polis selama dua tahun,” katanya.

Sementara itu, Hadzrat Hussien menegaskan bahawa pihak polis tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana individu atau sindiket yang terlibat dalam kegiatan pemerdagangan orang, penyeludupan migran serta pengedaran dadah.

Katanya, tindakan tegas dan eksekutif akan diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Kegiatan ini bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengancam keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara.

“Kerjasama risikan dan inteligen telah dilaksanakan secara bersepadu antara Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian.

“Kerjasama ini melibatkan perkongsian maklumat risikan, pemantauan pergerakan sasaran serta penyelarasan tindakan operasi bagi membanteras kegiatan jenayah terancang, khususnya pemerdagangan orang dan pengedaran dadah,” katanya.

Ringkasan AI

  • Polis menahan pasangan suami isteri warga Indonesia di Pontian kerana terlibat dalam penyeludupan migran dan pengedaran dadah
  • Mereka ditahan di Kampung Parit Haji Yassin, Benut dengan rampasan dadah bernilai RM61,000
  • Pasangan ini positif dadah jenis methamphetamine
  • Lelaki ditahan bawah akta keselamatan sementara isteri dibawah akta imigresen
  • Polis menyatakan tidak berkompromi terhadap individu atau sindiket terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran dan pengedaran dadah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!