Nadia Kesuma dikesan telah tinggalkan lapangan terbang Jeddah

Nadia Kesuma dikesan keluar dari kawasan lapangan terbang selepas tiba di Arab Saudi.
Nadia Kesuma dikesan keluar dari kawasan lapangan terbang selepas tiba di Arab Saudi.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelakon, Nadia Kesuma yang dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, Arab Saudi pada Khamis lalu, dikesan telah meninggalkan lapangan terbang itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihak Konsulat Malaysia di Jeddah telah mengesahkan individu berkenaan keluar dari kawasan lapangan terbang selepas tiba di Arab Saudi.

Menurut beliau, pihak Konsulat telah berhubung rapat dengan polis dan imigresen tempatan bagi menjejaki pergerakan Nadia Kesuma, selain laporan polis tempatan turut dibuat bagi membantu usaha pencarian.

"Ini bermakna Nadia sudah melepasi kawasan lapangan terbang. Laporan polis tempatan telah dibuat, namun mengikut peraturan di sana, laporan orang hilang hanya boleh diklasifikasikan selepas tempoh 20 jam.

"Sebelum tempoh itu, usaha pencarian perlu dijalankan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dalam sidang media di Laman Media Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Sabtu.

Sebelum ini, media melaporkan Nadia yang juga pelakon filem Syaitan Munafik itu gagal dikesan selepas penerbangannya ke London dari Kuala Lumpur sedang transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah pada Khamis.

Kehilangan itu turut disahkan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada Jumaat.

Suami kepada pelakon Nadia Kesuma, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, merayu kerajaan Malaysia segera menggerakkan usaha diplomatik dengan kerajaan Arab Saudi bagi mempercepatkan proses pencarian isterinya.

Artikel Berkaitan:

Ahli keluarga Nadia Kesuma telah membuat laporan kepada Wisma Putra dan Konsulat Malaysia di Jeddah.

Buat masa ini, suami Nadia Kesuma dinasihatkan agar kekal berada di Malaysia dan tidak terbang ke Jeddah bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap siasatan, selain faktor kekangan bahasa kerana beliau tidak fasih berbahasa Arab.

Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Bakri Syed Abdul Rahman pada Sabtu berkata, laporan mengenai kehilangan pelakon itu telah dibuat dan pihaknya menunggu hasil siasatan polis Arab Saudi.

Ujar Mohamad, pihaknya telah mengarahkan pejabat Konsulat Malaysia di Jeddah untuk mengambil segala langkah perlu bagi membantu pencarian, selain menegaskan bahawa agensi pelancongan terlibat tidak boleh lepas tangan.

“Agensi pelancongan mesti bertanggungjawab sepenuhnya kerana Nadia ke sana melalui rombongan yang diuruskan oleh mereka,” ujar beliau.

Ringkasan AI

  • Pelakon Nadia Kesuma dilaporkan hilang di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah
  • Nadia Kesuma dikesan telah meninggalkan lapangan terbang Jeddah
  • Konsulat Malaysia di Jeddah mengesahkan Nadia keluar dari kawasan lapangan terbang dan telah berhubung dengan polis serta imigresen tempatan untuk menjejaki pergerakannya
  • Laporan polis tempatan telah dibuat untuk membantu usaha pencarian Nadia
  • Suami Nadia, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, merayu kerajaan Malaysia untuk menggerakkan usaha diplomatik bagi mempercepatkan proses pencarian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!