Sekolah sesak: KPM adakan dua sesi persekolahan di bandar babit prasekolah, Darjah Satu

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan (KPM) akan melaksanakan persekolahan dua sesi bagi menangani masalah kesesakan di sekolah bandar terutama membabitkan murid prasekolah dan Darjah Satu pada tahun depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah tersebut bagi memastikan pendidikan bermutu dapat diberikan keada semua murid.
"Memang benar, ada sekolah di bandar mempunyai kepadatan murid, sementara banyak sekolah di desa (dan) pedalaman, kurang murid. Itu memang kenyataan.
"Bagi sekolah-sekolah yang dianggap sesak, KPM terutama di peringkat anak-anak kecil Darjah Satu yang baharu dan prasekolah, itu boleh dibuat dua sesi sementara.
"Secara ideal boleh fikir satu sesi tetapi yang penting pendidikan bermutu. Saya setuju kita ambil langkah segera," katanya ketika Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Lee Chuan How (PH-Ipoh Timor) mengenai kesiapsiagaan sekolah yang mempunyai kepadatan murid bagi menampung pertambahan murid tahun satu dan prasekolah selepas memilih persekolahan pada usia lima dan enam tahun.
Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan telah menyediakan peruntukan tambahan berjumlah RM800 juta bagi memenuhi keperluan pelaksanaan murid enam tahun memasuki darjah satu.
"Kalau ada keperluan ditambah peruntukan, memang disediakan tinggi tahun ini untuk menambah kelas baharu dan tambahan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

