[VIDEO] Murid enam tahun masuk Darjah Satu tak perlu jalani ujian diagnostik - PM

A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk tidak melaksanakan ujian diagnostik khas kemasukan ke Darjah Satu bagi murid enam tahun untuk mengelakkan bebanan serta mempermudah pelaksanaan sistem pendidikan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, selain memberi keutamaan kepada pemantauan berterusan terhadap perkembangan murid melalui peranan guru dan ibu bapa.

“Oleh itu, ia ditiadakan supaya dipermudahkan.

"Bagaimanapun, menjadi tanggungjawab guru-guru dan ibu bapa untuk pantau kelayakan anak-anak," katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (MPQT) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Sebelum ini Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilapor memaklumkan, ujian saringan diagnostik khas akan digunakan bagi menentukan kelayakan kanak-kanak memasuki Tahun Satu seawal umur enam tahun mulai sesi persekolahan 2027.

Beliau berkata, hanya murid yang layak dan berjaya melepasi kriteria ditetapkan setelah menduduki ujian diagnostik itu akan dipilih untuk kemasukan berkenaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pertanyaan-pertanyaan dan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi pertanyaan-pertanyaan dan jawab lisan pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen hari ini.- Foto Bernama

Sementara itu Anwar menegaskan, pelaksanaan ujian penilaian Darjah Empat membolehkan pihak berkepentingan mempunyai tempoh sekurang-kurangnya dua tahun untuk melakukan penambahbaikan sebelum murid melangkah ke Tingkatan Satu.

Artikel Berkaitan:

"Biasalah dalam apa juga cadangan, akan mengundang sedikita kontroversi. Buat ujian Darjah Tiga salah, Darjah Empat salah, Darjah Enam pun salah. Tak buat langsung pun salah.

"Jadi kita putuskan, buat (ujian) Darjah Empat kemudian kita lihat keberkesanannya.

"Pendidikan harus dinamik, harus ada penilaian yang berterusan dan peringkat awal, ini adalah cadangan. Saya harap masyarakat, ibu bapa beri rung kita cuba dengan sebaik mungkin," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan bersetuju tidak melaksanakan ujian diagnostik kemasukan Darjah Satu untuk murid enam tahun Keputusan dibuat untuk mengelakkan bebanan pada anak-anak dan mempermudah pelaksanaan sistem pendidikan Perdana Menteri meminta guru dan ibu bapa memantau perkembangan murid sebagai pengganti ujian Menteri Pendidikan sebelumnya mengumumkan rencana menggunakan ujian diagnostik mulai sesi 2027 Ujian penilaian Darjah Empat diperkenalkan sebagai cara penilaian alternatif dan dinamik dalam pendidikan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!