Khamenei didakwa berlindung dalam kubu bawah tanah ketika Iran berdepan ancaman AS

TEHERAN – Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dilaporkan telah berlindung di sebuah kubu bawah tanah di Teheran ketika negara itu berdepan ancaman tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) serta gelombang protes terbesar dalam tempoh beberapa dekad.
Menurut laporan laman berita Iran International yang berpangkalan di luar negara, Khamenei didakwa berpindah ke lokasi bawah tanah selepas pegawai kanan keselamatan Iran menilai peningkatan risiko serangan ketenteraan AS susulan penempatan aset ketenteraan Amerika di rantau tersebut.
Laporan itu menyatakan, kubu berkenaan dilengkapi sistem terowong yang saling bersambung bagi menjamin keselamatan pemimpin tertinggi republik Islam itu.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan oleh Saeid Reza Mosayeb Motlagh, diplomat tertinggi Iran di India, yang menegaskan bahawa walaupun Khamenei diberikan kawalan keselamatan ketat, beliau tidak bersembunyi di dalam kubu atau tempat perlindungan bawah tanah.
Dalam pada itu, laporan sama mendakwa anak ketiga Khamenei, Masoud Khamenei, telah mengambil alih pengurusan harian pejabat bapanya dan kini berperanan sebagai saluran utama komunikasi dengan kepimpinan kerajaan.
Perkembangan ini berlaku ketika sebuah kumpulan tempur kapal pengangkut Tentera Laut AS dilaporkan bergerak ke Asia Barat, susulan ancaman Presiden Donald Trump untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap kepimpinan Iran berhubung tindakan keras kerajaan terhadap penunjuk perasaan.
Trump, ketika bercakap kepada wartawan di atas pesawat Air Force One pada 23 Januari lalu selepas pulang dari Forum Ekonomi Dunia di Davos, Switzerland, berkata AS telah menghantar armada besar ke rantau berkenaan dan memantau perkembangan di Iran dengan teliti.
Menurut laporan Bloomberg yang memetik dua pegawai AS, kapal pengangkut USS Abraham Lincoln bersama beberapa kapal pemusnah berpandu sedang melalui Lautan Hindi, dilengkapi pesawat pejuang F-35C serta peluru berpandu Tomahawk.-Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

