22 pemimpin tertinggi GISBH ditawar pertuduhan bawah Akta Pertubuhan

KAJANG – Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi 22 pemimpin tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang berdepan kes menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dengan menawarkan pertuduhan pilihan di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim memberitahu demikian ketika prosiding di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar yang bersidang di Kompleks Penjara Kajang pada Khamis.
Beliau berkata, AGC telah menerima permohonan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Nasiruddin Mohd Ali dan 21 pemimpin tertinggi perniagaan itu bagi pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966.
Untuk info, seksyen itu melibatkan kesalahan bagi mana-mana individu yang menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.
Shafiq berkata, sebelum ini mahkamah menetapkan perbicaraan bagi kes menjadi ahli kumpulan jenayah terancang bermula 17 November depan.
“Memandangkan pihak pembelaan mahu berbincang dengan anak guam berhubung perkembangan baharu ini, maka saya mohon mahkamah menetapkan tarikh lain untuk sebutan semula kes.
“Kami juga tidak membantah permohonan pihak pembelaan sekiranya sebutan kes di buat lebih awal dari tarikh berkenaan,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim.
Dalam prosiding tersebut, pendakwaan tidak mendedahkan butiran pertuduhan pilihan yang akan dihadapi semua tertuduh secara terperinci.
Sementara itu, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili semua tertuduh mengesahkan telah menerima makluman mengenai status representasi terbabit.
Beliau memberitahu akan menasihati semua anak guamnya supaya menerima peluang yang diberikan.
“Kami mohon sebutan kes dibuat lebih awal dan pada tarikh itu, saya akan membuat hujahan untuk mengurangkan hukuman.
“Pada tarikh sama, mahkamah boleh membacakan pertuduhan pilihan terbabit, disusuli hujahan pemberatan hukuman oleh pendakwaan dan rayuan untuk mengurangkan hukuman daripada peguam bela,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim menetapkan sebutan kes pada 7 November depan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Rosli berkata, akan memujuk semua anak guam supaya menerima pertuduhan pilihan tersebut.
Menurutnya, permohonan untuk mengkaji pertuduhan antaranya mencadangkan beberapa pertuduhan bawah Akta Petubuhan itu telah dimasukkan dalam representasi yang dihantar kepada AGC pada 26 Mei lalu
“Kami telah berbincang dengan anak guam dan diharap mereka menerima pertuduhan pilihan itu.
“Kami akan membuat mitigasi dan menyerahkan kepada mahkamah untuk pertimbangan," katanya yang turut dibantu peguam, Muhammad Zaim Rosli dan Boestamam Ahmad.
Pada 23 Oktober 2024, mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu.
Semua tertuduh itu ialah Nasiruddin, 66, isterinya, Azura Md Yusof dan 58, anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib, 33.
Lapan lagi tertuduh wanita ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat @ Asmanira Muhammad Ramly, 45; Mahani Kasim, 55; Siti Salmiah Ismail, 58; Siti Hajar Ismail, 52; Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28; Nurul Jannah Idris, 29; dan Nur Jannah Omar, 33.
Sementara itu, 11 tertuduh lelaki lain ialah Hasnan Abd Hamid, 54; Mohd Shukri Mohd Noor, 54; Mokhtar Tajuddin, 61; Shuhaimi Mohamed, 57; Muhammad Afdaluddin Latif, 35; Mohamad Sayuti Omar, 36; Mohd Fazil Md Jasin, 58; Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35; Muhammad Zahid Azhar @ Nadzri, 52; Abu Ubaidah Ahmad Shukri, 35; dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tiada jaminan diberikan kepada semua tertuduh memandangkan kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.
Pada 23 Disember tahun lalu, Mahkamah Sesyen membenarkan kes itu dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Susulan itu, mereka selaku pemohon merayu kepada Mahkamah Tinggi supaya dilepaskan dengan jaminan sehingga kes itu didengar dan diputuskan.
Pada 13 Januari lalu, Hamimah yang juga akauntan GISBH menjadi tertuduh pertama yang dilepaskan dengan jaminan.
Pada 24 Mac lalu, semua tertuduh lelaki gagal dalam permohonan untuk dilepaskan dengan jaminan namun Mahkamah Tinggi membenarkan tertuduh-tertuduh wanita diikat jamin sebanyak RM40,000 dengan dua penjamin.
Ia termasuk syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap dua minggu, hadir ke mahkamah pada setiap tarikh yang tetapkan dan tidak mengganggu mana-mana saksi sepanjang tempoh jaminan.
Ringkasan AI
- Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima representasi 22 pemimpin tertinggi GISB Holdings untuk menghadapi pertuduhan pilihan di bawah Akta Pertubuhan 1966
- Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 melibatkan kesalahan menganggotai pertubuhan yang menyalahi undang-undang dengan hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya
- CEO GISB Holdings, Nasiruddin Mohd Ali dan 21 pemimpin tertinggi lainnya membuat permohonan pertuduhan pilihan tersebut
- Mahkamah Tinggi Shah Alam menetapkan tarikh sebutan kes pada 7 November setelah mendengar permohonan dari pembelaan dan pendakwaan
- Pada 23 Oktober 2024, kesemua tertuduh didakwa atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dengan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

