'Kita tawakal' - Isteri Da'i Syed serah urusan kepada ALLAH

Hana
Hana
A
A
A

SHAH ALAM - Isteri pendakwah selebriti, Da’i Syed menyerahkan semua urusan kepada ALLAH selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat memerintahkan suaminya ke penjara serta-merta.

Ia susulan Hakim, Adlin Abdul Majid menolak rayuan Da'i Syed atau nama sebenarnya Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 31, untuk mengetepikan sabitan dan penangguhan hukuman kerana merogol seorang wanita, tujuh tahun lalu.

Hana Ismail, 40, turut menyerahkan sepenuhnya soal kebajikan anak-anak kepada ketentuan Ilahi.

“Insya-ALLAH, semua ALLAH akan uruskan, kita tawakal. Bagi kes mahkamah ini, saya serahkan kepada peguam untuk mengaturkannya,” kata ibu kepada dua anak itu, ketika di luar mahkamah.

Sejurus keputusan, Hana memeluk suaminya berulang kali sebelum Syed Shah Iqmal dihantar ke penjara serta-merta.

Untuk rekod, pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 3 Disember 2022 dan dikurniakan dua anak.

Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal didakwa atas satu pertuduhan merogol wanita berusia 23 tahun (ketika itu) di bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7 di sini pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.

Dia yang didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Pada 10 April 2023, Mahkamah Sesyen melepaskan dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada pertuduhan itu selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan terbabit selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan.

Pada 30 Ogos 2024, Syed Shah Iqmal menangis teresak-esak selepas Mahkamah Sesyen menjatuhinya hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan atas tuduhan berkenaan dan diperintahkan ke penjara pada hari sama.

Bagaimanapun, selepas 21 hari meringkuk di Penjara Kajang, Syed Shah Iqmal dilepaskan sementara oleh Mahkamah Tinggi di sini sehingga rayuan utamanya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman didengar.

 

 

Ringkasan AI

  • Hana menyerahkan semua urusan kepada ALLAH selepas suaminya dihantar ke penjara
  • Da'i Syed didakwa merogol tujuh tahun lalu dan rayuannya untuk mengetepikan sabitan ditolak oleh Mahkamah Tinggi
  • Hana Ismail serahkan soal kebajikan anak-anak kepada ketentuan Ilahi
  • Pasangan tersebut berkahwin pada 3 Disember 2022 dan dikurniakan dua anak
  • Syed Shah Iqmal dihantar ke penjara setelah Mahkamah Tinggi memerintahkan dia membela diri atas pertuduhan merogol

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!