Pelancongan Muslim meningkat, Jepun timbang ruang solat untuk pelancong

KOCHI (Jepun) - Ketika Jepun menerima kedatangan pelancong Muslim yang semakin meningkat, satu persoalan yang kian mendapat perhatian mula timbul di lapangan terbang, pusat beli-belah dan hab pelancongan: di manakah pengembara ini boleh menunaikan solat?
Menurut Agensi Berita Kyodo, jumlah pelancong asing ke Jepun merekodkan angka tertinggi tahun lalu, termasuk mereka dari rantau majoriti Muslim yang tertarik dengan makanan, budaya pop dan keindahan alam mengikut musim di negara itu.
Antara Januari hingga November tahun lalu sahaja, kira-kira 560,000 pelancong datang dari Indonesia, 540,000 dari Malaysia dan 240,000 dari Timur Tengah, menurut Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun.
Bagaimanapun, bagi kebanyakan mereka, kesukaran untuk menunaikan kewajipan solat lima waktu di negara yang kemudahan solatnya masih belum menyeluruh, sedikit sebanyak menjejaskan pengalaman perjalanan mereka.
Isu ini nampaknya bukan mengenai pembinaan masjid yang besar tetapi mengenai fleksibiliti.
Agensi Pelancongan Jepun telah mengeluarkan panduan untuk perkhidmatan pelancong Muslim, dengan menggalakkan hotel, hab pengangkutan dan kemudahan komersial untuk menyediakan ruang solat yang tenang dan bersih jika keadaan mengizinkan.
Di tempat yang tidak mampu menyediakan bilik khas, pakar berkata kemudahan ringkas termasuk papan tanda jelas atau kesedaran kakitangan sudah memadai untuk membuat perbezaan ketara, sekali gus membantu Jepun menonjolkan imej layanan mesra yang melangkaui budaya.
Pada Ekspo Dunia Osaka tahun lalu, yang menerima ramai pengunjung dan petugas Muslim, sebuah bilik solat disediakan berhampiran Forest of Tranquility bagi memenuhi keperluan pengunjung yang perlu menunaikan solat lima kali sehari.
Ketersediaan ruang solat turut diperluas di lapangan terbang besar dan bandar-bandar utama. Lapangan Terbang Haneda di Tokyo, sebagai contoh, membuka bilik solat di Terminal 3 yang mengendalikan penerbangan antarabangsa pada 2014.
Ia digunakan hampir 2,000 orang setiap bulan secara purata pada tahun fiskal 2024, menurut pengendalinya.
Bilik solat turut disediakan di Stesen JR Tokyo dan Osaka, manakala kerajaan tempatan serta syarikat swasta menyediakan kemudahan di sekitar stesen di destinasi pelancongan seperti Kyoto dan Nara.
Namun, disebabkan faktor seperti kekangan ruang dan permintaan yang rendah, kemudahan solat masih terhad di stesen-stesen di wilayah seperti Shikoku dan Kyushu, masing-masing di barat dan barat daya Jepun.
Sementara itu, Profesor Emeritus Waseda University Hirofumi Tanada, yang mempunyai pengkhususan dalam hal ehwal Muslim di Jepun berkata, kekerapan dan tempoh solat boleh berbeza-beza mengikut individu ketika melancong.
Beliau menyarankan pendekatan lebih fleksibel diambil walaupun ketersediaan kemudahan masih ketinggalan.
Pensyarah Adjung Rikkyo University Akiko Komura berkata, adalah penting untuk melibatkan komuniti Muslim tempatan dan bekerjasama mengenal pasti lokasi yang mudah diakses, sambil menambah bahawa usaha ini wajar dijadikan peluang untuk memahami realiti yang dihadapi umat Islam di negara itu. - Bernama
Ringkasan AI
- Jepun menerima kedatangan pelancong Muslim yang meningkat dengan persoalan utama di tempat kegemaran seperti di mana mereka boleh solat
- Jumlah pelancong asing termasuk dari Indonesia, Malaysia, dan Timur Tengah ke Jepun mencapai angka tertinggi
- Fleksibiliti dalam menyediakan kemudahan solat dianggap lebih penting daripada pembinaan masjid besar
- Agensi Pelancong Jepun menggalakkan penyediaan ruang solat yang tenang dan bersih di hotel dan tempat utama
- Ketersediaan ruang solat diperluas di lapangan terbang besar dan bandar utama, namun masih terhad di beberapa wilayah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
