NASA jawab dakwaan bumi hilang graviti pada 12 Ogos 2026

Bumi didakwa akan hilang graviti pada 12 Ogos 2026. Foto: Agensi
Bumi didakwa akan hilang graviti pada 12 Ogos 2026. Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) menepis dakwaan yang tular di media sosial berhubung bumi akan kehilangan graviti pada 12 Ogos 2026 sehingga menyebabkan jutaan kematian.

Teori konspirasi tersebut tersebar di Instagram dan X, kononnya berdasarkan fail NASA berjudul Project Anchor dari November 2024.

Menurut teori itu, bumi akan mengalami tempoh tujuh saat tanpa graviti dan pengikutnya mendakwa fenomena itu boleh mengorbankan sehingga 60 juta orang.

Teori tersebut turut dikaitkan dengan ramalan seorang bekas ahli fizik Harvard yang mendakwa beliau “menemui syurga seperti dalam Alkitab”.

NASA segera menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan bahawa kehilangan graviti bumi adalah mustahil.

Dalam kenyataan kepada platform semak fakta Snopes, jurucakap agensi itu berkata, bumi tidak akan kehilangan graviti pada 12 Ogos 2026 dan graviti Bumi ditentukan oleh jisimnya.

“Satu-satunya cara bumi boleh kehilangan graviti ialah jika sistem bumi termasuk inti, mantel, kerak, lautan, air daratan dan atmosfera kehilangan jisimnya,” katanya.

Agensi itu turut menegaskan bahawa sepanjang pandemik Covid-19, NASA telah bertindak pantas, berkongsi maklumat secara telus dan memberikan nasihat berdasarkan bukti saintifik terbaik.

Segala dakwaan bahawa NASA 'menyembunyikan fakta' atau bertindak menentang kepentingan manusia di bumi adalah tidak benar.

Artikel Berkaitan:

Walaupun teori itu menjadi tular dan menimbulkan panik dalam talian, pakar sains mengingatkan bahawa graviti ialah fenomena asas fizik yang tidak boleh hilang secara tiba-tiba.

NASA menekankan bahawa orang ramai tidak perlu bimbang mengenai sebarang 'peristiwa tujuh saat tanpa graviti' seperti yang didakwa dalam teori tersebut.

NASA memberi jaminan bahawa Bumi kekal selamat, graviti kekal utuh, dan kehidupan berjalan seperti biasa. – Agensi

Ringkasan AI

  • NASA menepis dakwaan Bumi akan kehilangan graviti pada 12 Ogos 2026 yang tular di media sosial
  • Teori konspirasi itu dikaitkan dengan Project Anchor dan seorang bekas ahli fizik Harvard
  • NASA menegaskan kehilangan graviti Bumi adalah mustahil kerana graviti ditentukan oleh jisim Bumi
  • Agensi itu menafikan menyembunyikan fakta dan bertindak menentang kepentingan manusia
  • NASA memberi jaminan Bumi dan gravitinya kekal selamat, menekankan tiada perlu bimbang akan "peristiwa tujuh saat tanpa graviti"

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!