Pengantarabangsaan UPNM memacu ke arah kelestarian pendidikan pertahanan

MALAYSIA adalah sebuah negara berdaulat yang mempraktikkan sistem pentadbiran bersifat demokrasi dan Raja Berperlembagaan.
Setiap individu berhak dan bebas untuk melontarkan pandangan masing-masing dan mana-mana idea baharu, adalah digalakkan terutamanya jika pandangan kritikal tersebut disertai dengan bukti yang kukuh dan autentik.
Terdapat pandangan yang membahaskan isu pengantarabangsaan sebagai indikator yang boleh menjejaskan kedudukan universiti tempatan kerana memerlukan syarat pengiktirafan “orang luar” (Barat) sehingga mengabaikan merit akademik tempatan.
Malah tindakan penarafan global seperti QS ranking ini juga dilihat sebagai kaedah “imperialisme intelektual”, yang menjejaskan kredibiliti univeristi tempatan dan meminggirkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai identiti negara-bangsa.
Perbincangan mengenai isu pengantarabangsaan dan penghujahan mengenai “imperialisme intelektual”, perlu dibahaskan secara kritikal dengan melihat dalam konteks persekitaran akademik global semasa.
Ia perlu mengambil kira dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang memerlukan langkah strategik dan holistik, bagi melahirkan modal insan yang berwibawa, dan berkemahiran tinggi dalam menyokong inovasi, produktiviti tempatan agar dapat berdaya saing di peringkat global.
Untuk mencapai ke tahap ini, kita perlu melihat realiti dunia semasa di mana Bahasa Inggeris telah di normalisasi sebagai bahasa akademik dan bahasa dalam perhubungan antarabangsa (Lingua-Franca).
Justeru, bagi membolehkan hasil idea dan produk tempatan dikenali di persada dunia, dan boleh dibincangkan dalam rentak yang sama, oleh itu, penglibatan universiti tempatan dalam penarafan global adalah idea yang rasional.
Ini kerana, ia adalah satu penanda aras yang membandingkan amalan dan prestasi institusi terbaik di dunia, bagi mengenal pasti ruang penambahbaikan berdasarkan aspek yang dipersetujui, iaitu reputasi akademik, kualiti pengajaran, penyelidikan, nisbah pensyarah-pelajar, kecemerlangan graduan dan pandangan industri.
Manakala dalam bidang penerbitan pula, sebahagian besar jurnal terkemuka di dunia menggunakan Bahasa Inggeris dalam penulisan ilmiah. Meskipun terdapat juga jurnal terkemuka yang tidak menggunakan bahasa Inggeris, namun kuantitinya adalah sangat kecil.
Justeru, apabila penggunaan Bahasa Inggeris agak dominan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA), ia bukan bertujuan untuk mengukuhkan hegemoni “orang luar” (Barat), tetapi ia lebih kepada satu keperluan bagi mengendalikan pelajar-pelajar antarabangsa.
Malah kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal dominan di dalam urusan pentadbiran universiti, sebagaimana termaktub di dalam peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Ini termasuk penyediaan soalan peperiksaan di dalam dwibahasa dengan memberi keutamaan kepada Bahasa Melayu.
Oleh itu lontaran idea yang menganggap strategi pengantarabangsaan dalam meningkatkan jaringan kerjasama akademik yang membabitkan mobiliti pelajar, kakitangan akademik, penyelidikan bersama dengan institusi luar negara, boleh menggugat identiti Bangsa Malaysia, perlu dianalisis secara kritikal.
Realitinya, matlamat utama “Keunggulan Global” (Lonjakan ke 8), yang terangkum di dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), yang telah ditegaskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir, bukan berunsurkan peminggiran Bahasa Melayu dan nilai-nilai tempatan.
Namun ia adalah satu gagasan bagi meningkatkan prestasi universiti tempatan di peringkat global, dengan mengunakan penanda aras yang dipraktikkan di peringkat antarabangsa,
Bagi mengukuhkan keterlihatan universiti tempatan di peringkat global, KPT telah menggalakkan jaringan kerjasama dilaksanakan di peringkat antarabangsa, kerana ia mampu menarik kemasukan ramai pelajar antarabangsa (terutama pascasiswazah).
Atas asas ini, usul berkenaan telah disambut baik oleh semua universiti tempatan samada yang bertunjangkan penyelidikan, pendidikan (teaching university), ataupun pertahanan.
Bagi Universiti Pertahanan, usul pengantarabangsaan yang membabitkan kemasukan pelajar antarabangsa melalui program mobiliti, dan kerjasama tenaga akademik telah dipraktikkan secara berperingkat dan selari dengan Dasar PPPM 2015-2025.
Malahan pelaksanaan ini juga tidak mengurangkan kuota kemasukan pelajar tempatan ke UPNM. Selaras dengan matlamat UPNM30 yang digagaskan oleh Naib Canselor (NC) Leftenan Jeneral Datuk Wira Arman Rumaizi Ahmad, yang bermatlamatkan kemunculan UPNM sebagai universiti premier, proses pengantarabangsaan ini telah meningkatkan kemahiran global pelajar tempatan.
Manakala pelaksanaan Diploma Pasca Siswazah Pengajian Strategi dan Pertahanan (DPPSP) yang melibatkan kerjasama di antara UPNM dengan Maktab Turus Angkatan Tentera (MTAT) pula, telah berjaya menggalakkan kemasukan 33 orang pelajar anatarabangsa dari 22 buah negara di seluruh dunia.
Dasar pengantarabangsaan PPPM 2015-2025 ini juga telah direalisasikan oleh UPNM melalui lawatan NC ke negara-negara luar bagi mengukuhkan Program Sarjana dalam membina kepakaran maritim Malaysia.
Kerjasama ini telah dilaksanakan dengan Ecole Centrale de Nantes (ECN) dan Naval Group (Syarikat pembinaan kapal tentera laut Peranchis). Ia adalah inisiatif strategik hasil dari perolehan Kapal Tempur Persisir (LCS) oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF).
Program ini juga melibatkan pertukaran pelajar untuk teknologi maritim dalam tempoh 3-6 bulan di Paris dan Nantes.
Begitu juga dengan jalinan dengan Amerika Syarikat yang bertujuan untuk memperkasakan diplomasi pertahanan dan memperluas jaringan akademik antarabangsa.
Hubungan kerjasama melalui Memorandum of Understanding (MoU) antarabangsa di Osaka dan Paris pula telah berjaya mengukuhkan Professional Military Education (PME) ke arah pendidikan pertahanan yang progresif dan global.
Dengan manfaat yang besar diperolehi dari polisi pengantarabangsaan dalam melahirkan kelompok modal insan cemerlang dalam akademik dan pertahanan, oleh itu gagasan UPNM30, telah dijajarkan agar selari dan berkesinambungan dengan matlamat PPPM 2015-2025.
Langkah ini dilihat dapat mengukuhkan reputasi UPNM sebagai pusat kecemerlangan pertahanan serantau dan jambatan diplomasi pertahanan Malaysia di peringkat global.
* Profesor Dr Wan Norhasniah Wan Husin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Hubungan Antarabangsa, Undang-undang dan Keselamatan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
