Operasi sanitasi awam seluruh Johor mulai hari ini

Bomba dengan kerjasama agensi lain melakukan Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di Bandar Sempang Renggam, Kluang semalam bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Bomba dengan kerjasama agensi lain melakukan Operasi Sanitasi Awam Covid-19 di Bandar Sempang Renggam, Kluang semalam bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Operasi Sanitasi Awam Covid-19 akan dilakukan di semua daerah di Johor secara berperingkat-peringkat bermula hari ini hingga 14 April bagi mengekang pandemik yang dicetuskan koronavirus (Covid-19).

Kerja-kerja nyah cemar itu akan dilakukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor dan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment) dengan kerjasama beberapa agensi lain termasuk penglibatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar, R Vidyananthan berkata, operasi berkenaan dimulakan di Batu Pahat iaitu daerah ketiga kes Covid-19 tertinggi di negeri ini diikuti daerah lain secara berfasa.

"Pegawai Kesihatan di setiap daerah akan menetapkan lokasi dikenal pasti perlu untuk dilaksanakan operasi sanitasi di daerah masing-masing terutama di lokasi yang merekodkan jumlah kes positif tinggi dan lokasi-lokasi tumpuan orang ramai.

"Semalam, proses itu ada dilakukan di Kampung Sinaran Baru, Kempas di sini dan di kawasan Simpang Renggam, Kluang dan proses ini di kawasan tersebut akan diteruskan selepas ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, penduduk di Simpang Renggam yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) tidak perlu risau kerana bekalan makanan asas diagihkan mencukupi dan akan terus diedarkan jabatan atau agensi yang dipertanggungjawabkan.

Menurut Vidyananthan, pihaknya mendapati purata peratusan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Johor sehingga semalam adalah 96.42 peratus iaitu meningkat sedikit berbanding sehari sebelum itu.

Selain itu katanya, sehingga semalam, Johor melaporkan penambahan 24 kes baharu Covid-19 menjadikan jumlah terkini sebanyak 333 kes.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun, jumlah kes positif sembuh menunjukkan pertambahan sebanyak 93 kes. Sehingga semalam juga tiada pertambahan kes kematian yang direkodkan," katanya.