Skim Harga Maksimum Perayaan Pesta Kaamatan 2023 bermula hari ini

Salahuddinketika memeriksa harga dan bekalan minyak masak pada majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Kaamatan 2023 di Bataras Hypermarket Kolombong Kota Kinabalu, pada Sabtu. - Foto Bernama
Salahuddinketika memeriksa harga dan bekalan minyak masak pada majlis pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Kaamatan 2023 di Bataras Hypermarket Kolombong Kota Kinabalu, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak lapan jenis barangan disenaraikan sebagai barangan kawalan di bawah Skim Harga Maksimum Perayaan Pesta Kaamatan 2023 selama tujuh hari bermula Sabtu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, tempoh itu meliputi tiga hari sebelum sambutan pesta berkenaan, kemudian pada hari sambutan, dan seterunya tiga hari kemudian.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Perayaan Pesta Kaamatan 2023 di Bataras Hypermarket, Kolombong di sini pada Sabtu, beliau berkata, penetapan harga kawalan itu bertujuan memastikan rakyat khususnya yang menyambut Pesta Kaamatan akan dapat berbelanja pada harga yang terkawal.

Dalam kenyataan media yang diedarkan pada majlis itu, harga sekilogram lapan barangan yang disenaraikan ialah kepak ayam RM15.50 untuk harga borong dan RM16.50 harga runcit; daging kerbau import (India) kecuali batang pinang (RM20 harga borong dan RM22 harga runcit).

Turut disenaraikan daging babi perut RM43 harga borong dan RM45 harga runcit, serta daging babi iaitu daging dan lemak, harga borong ialah RM36 manakala harga runcit RM38.

Bagaimanapun, terdapat perbezaan harga barangan di kawasan Pantai Barat untuk bawang kecil merah (India) dengan RM6 harga borong dan RM7 harga runcit; bawang putih (China) RM6.50 harga borong dan RM8 harga runcit; cili kering leper RM16 harga borong dan RM18 harga runcit, manakala babi hidup (RM19.50).

Di Pantai Timur harga bawang kecil merah (India) ialah RM7 harga borong dan RM8 harga runcit; bawang putih (China) RM7 harga borong dan RM8.50 harga runcit manakala babi hidup RM20.

Sementara itu meerujuk kepada bekalan gula Salahuddin berkata, pihak kementerian akan sentiasa memastikan bekalannya sentiasa ada di pasaran, dengan pemantauan dijalankan setiap hari selain mengawal harga gula kasar dan halus melalui Op Manis yang dijalankan.

Katanya, semua industri diberi arahan mengeluarkan gula putih untuk kegunaan pengguna bagi mengelak kekurangan bekalan gula di pasaran, termasuk bekalan minyak masak yang mencukupi.

"Gula putih kasar dan halus itu mesti berada di pasaran, itu syarat yang telah ditetapkan kepada industri selepas kementerian memberi keizinan mengeluarkan gula putih bertapis jernih yang mereka boleh jual tanpa harga kawalan,” katanya sambil menegaskan kementerian tidak akan berkompromi sekiranya berlaku isu-isu penyorokan atau mengambil kesempatan diatas pengumuman kementerian dua hari lepas. - Bernama