Terima nota maaf, 'bye', kesayangan dari Zara Qairina - Saksi

KOTA KINABALU - Saksi kanak-kanak ke-24 dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir mendedahkan kepada Mahkamah Koroner di sini bahawa dia menerima dua nota mengandungi permohonan maaf dan berkawan semula serta tulisan 'Bye' dan 'kesayangan' daripada remaja tersebut.
Kanak-kanak yang juga saksi ke-33 dalam inkues itu dipanggil semula untuk memberi keterangannya berhubung siasatan dalaman oleh unit disiplin sekolah menengah ke atas kejadian yang menimpa Zara Qairina.
Peguam Shahlan Jufri berkata, semasa siasatan dalaman tersebut, saksi ada membuat keterangan bertulis dan menceritakan perkara yang dalam pengetahuan di dalam keterangan bertulis tersebut.
"Saksi menyatakan terdapat dua jenis nota yang pernah diterimanya iaitu nota kertas berwarna putih berjalur biru yang diselitkan dalam buku tafsir saksi dan nota kertas berwarna kuning yang diselitkan dalam buku teks saksi.
"Nota kertas berwarna putih mengandungi tulisan yang ditujukan kepada saksi untuk memohon maaf kepada saksi dan memohon untuk saksi berkawan semula dengan Zara.
"Sementara nota kertas berwarna putih mengandungi tulisan dengan kata-kata seperti 'Bye' dan 'kesayangan'," katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Mahkamah Kota Kinabalu di sini pada Jumaat.
Shahlan berkata lagi, menurut saksi, nota yang diberikan kepadanya adalah bertujuan untuk memberitahu bahawa Zara Qairina pada ketika itu mahu pergi ke surau terlebih dahulu.
"Saksi juga menyatakan bahawa memang kebiasaanya Zara selalu menulis nota atau surat kepadanya.
"Saksi mengatakan bahawa kertas kuning tersebut telah diserahkan kepada antara seorang guru unit disiplin sebelum beliau diminta untuk menulis keterangan saksi pada 16 Julai 2025.
"Namun, saksi tidak dapat mengingati guru yang menerima nota tersebut. Saksi cuma ingat hanya ada Ustazah Syukriah, Cikgu Muliati dan Cikgu Miswati yang ada semasa beliau menulis keterangan untuk siasatan dalaman unit disiplin," katanya.
Jelas beliau lagi, dalam prosiding tersebut, saksi memaklumkan bahawa dia diarahkan oleh salah seorang guru disiplin semasa di surau yang memintanya untuk mengisi borang keterangan pengadu untuk menulis perkara yang diketahuinya.
"Keterangan tersebut dibuat di dalam musollah yang yang mempunyai sebuah meja. Ketika itu, beberapa pelajar lain turut berada di lokasi tersebut, termasuk rakan rapat dan rakan sebilik arwah.
"Saksi menerangkan bahawa arwah Zara merupakan seorang yang berprinsip untuk mencuba terlebih dahulu dan tidak terlalu mengambil berat soal menang atau kalah, selagi diberi peluang untuk mencuba.
"Saksi menyatakan bahawa arwah Zara konsisten tidak pernah meluahkan perasaan sedih yang luar biasa kepadanya. Sekiranya terdapat rasa cemburu atau merajuk oleh Zara, memang kebiasaanya Zara akan meminta maaf kepada saksi.
"Pertemuan terakhir mereka sebelum kejadian adalah dalam keadaan biasa tanpa sebarang tingkah laku ganjil oleh Zara," katanya.
Kata Shahlan lagi, saksi turut memaklumkan bahawa ibu bapanya hanya dimaklumkan mengenai pengambilan keterangan selepas ia dilakukan.
"Saksi tidak pernah menerima sebarang salinan rasmi kenyataan saksi daripada pihak sekolah. Ibu bapa saksi juga tidak pernah menerima salinan keterangan bertulis saksi," katanya.
Sebelum itu, prosiding pada hari ke-55 itu berlangsung tanpa kehadiran petugas media kerana melibatkan saksi kanak-kanak yang tidak membenarkan sebarang liputan media di mahkamah melibatkan saksi bawah umur.
Shahlan bersama pasukannya iaitu Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James bagi mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Ringkasan AI
- Saksi kanak-kanak ke-24 dalam inkues kematian Zara Qairina menerima dua nota maaf dan kata 'Bye' serta 'kesayangan' daripada Zara
- Nota ditemui dalam buku tafsir dan teks si saksi, bertujuan meminta berkawan semula dan menyatakan Zara ingin ke surau
- Saksi menyerahkan nota kepada guru Unit Disiplin dan membuat keterangan tertulis mengenai kejadian pada 16 Julai 2025
- Zara dikenali sebagai individu yang berprinsip, tidak terlalu mengambil berat soal menang atau kalah, dan selalu meminta maaf
- Saksi tidak menerima salinan rasmi kenyataan saksi daripada pihak sekolah, begitu juga ibu bapa saksi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
