Pemanduan laju, kegagalan brek punca nahas bas UPSI

KUALA LUMPUR - Analisis video mendapati bas persiaran yang terlibat kemalangan maut membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada 9 Jun tahun lepas dianggarkan bergerak pada kelajuan kira-kira 114.7 kilometer sejam (km/j), melampaui had kestabilan selamat kenderaan bagi laluan itu.
Laporan Akhir Siasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan oleh Pasukan Petugas Khas Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan laluan di lokasi kejadian direka bentuk untuk kelajuan kira-kira 70 km/j, dengan had laju peraturan ditetapkan pada 60 km/j.
"Analisis menunjukkan bahawa bas telah bergerak pada kelajuan yang jauh melebihi kedua-dua kelajuan reka bentuk dan had laju yang dibenarkan, sekali gus melampaui had kestabilan selamat kenderaan pada laluan tersebut semasa kejadian,” menurut laporan itu.
Rakaman video daripada kenderaan awam yang berada berhampiran lokasi kejadian telah digunakan sebagai satu kaedah bebas untuk menganggarkan kelajuan bas semasa kejadian.
Laporan memaklumkan bas itu tidak dilengkapi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), Peranti Mengehad Laju (SLD) atau kamera papan pemuka kenderaan, menyebabkan tiada rakaman dalaman kenderaan tersedia.
Laporan turut menyatakan penggunaan brek secara agresif pada kelajuan tinggi menyebabkan peningkatan suhu komponen brek secara mendadak, sekali gus mengurangkan keberkesanan brek secara progresif.
Gabungan kegagalan brek dan kelajuan berlebihan itu menyebabkan bas hilang kestabilan, tergelincir dan terbalik sebelum melanggar penghadang jalan jenis W-beam dan seterusnya merempuh bahagian belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Menurut laporan, penembusan penghadang ke dalam kabin bas dikenal pasti sebagai mekanisme utama yang meningkatkan tahap kecederaan dan kematian penumpang.
Bagaimanapun, hasil ujian toksikologi mengesahkan pemandu bas tidak berada di bawah pengaruh alkohol, dadah atau bahan terlarang ketika kemalangan berlaku.
Siasatan turut mendapati kerja penyelenggaraan bas berkenaan dijalankan oleh bengkel yang tidak tersenarai sebagai bengkel bertauliah, termasuk bagi kerja kritikal membabitkan sistem brek dan hab roda.
"Rekod Pemeriksaan Berkala Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) menunjukkan bas itu lulus pemeriksaan di Puspakom Kota Bharu pada 13 April 2025 dengan kecekapan brek keseluruhan direkodkan pada 59 peratus, namun ujian statik tersebut tidak mampu mengesan potensi berlakunya fenomena brake fade dalam keadaan beban dan kelajuan tinggi,” menurut laporan itu.
Pada 9 Jun 2025, sebanyak 15 pelajar UPSI maut apabila bas yang mereka naiki dari Jerteh, Terengganu ke Kampus UPSI Tanjung Malim, Perak terbabit kemalangan dengan Perodua Alza di Kilometer 53 Jalan Raya Timur-Barat (Jeli-Gerik), Perak. - Bernama
Ringkasan AI
- Bas persiaran terlibat kemalangan dianggarkan bergerak pada kelajuan 114.7 km/j, melebihi had kestabilan selamat
- Laluan tempat kejadian direka untuk kelajuan 70 km/j dengan had laju 60 km/j
- Penggunaan brek secara agresif pada kelajuan tinggi mengurangkan keberkesanan brek
- Kegagalan brek dan kelajuan berlebihan menyebabkan bas tergelincir dan terbalik
- Kerja penyelenggaraan bas dilakukan oleh bengkel yang tidak bertauliah, termasuk sistem brek dan hab roda
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
