Inkues Zara Qairina: Saksi kanak-kanak kelima sambung beri keterangan

Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir memasuki hari ke-16 bersambung semula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Isnin.
Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir memasuki hari ke-16 bersambung semula di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir memasuki hari ke-16 bersambung semula di Mahkamah Koroner di sini pada jam 9.28 pagi Isnin.

Saksi ke-13 yang juga merupakan kanak-kanak kelima ditemani ibunya, hadir memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Sebelum ini, peguam Shahlan Jufri memaklumkan prosiding disambung berikutan keterangan saksi kanak-kanak tersebut belum selesai dengan pasukan peguam daripada pihak berkepentingan lain.

"Isnin dan Selasa ada prosiding. Isnin akan dimulakan dengan saksi kanak-kanak dan dijangkakan ada saksi lain iaitu pelajar juga.

"Untuk hari Rabu, Khamis dan Jumaat minggu ini tidak ada prosiding dan akan disambung nanti," katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Pada Jumaat lalu, saksi ke-12 iaitu kanak-kanak keempat selesai memberi keterangan sebelum disambung oleh saksi kanak-kanak kelima tersebut.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh berkata, pakar dokumen forensik telah selesai menjalankan pemeriksaan pada Jumaat lalu.

"Kami telah berbincang dengan pihak pegawai pengendali untuk memohon semula jadual bagi memeriksa dokumen lain di bawah jagaan Jabatan Kimia, bahagian asid deoksiribonukleik (DNA) kerana isu teknikal.

"Jadi kita dijangka dapat selepas memohon, kita boleh menjadualkan semula pemeriksaan dokumen termasuk Dr Linthini Gannetion (SD Forensic Document Services) untuk meneliti sejumlah 11 dokumen bertulisan, termasuk buku hijau 'Love and Peace'," katanya.

Artikel Berkaitan:

Secara keseluruhan, prosiding yang dijalankan secara tertutup melalui kamera itu membabitkan 35 saksi kanak-kanak dan 25 saksi dewasa.

Pihak berkepentingan dalam inkues ini terdiri daripada pasukan peguam Shahlan, Rizwandean M. Borhan, Mohd Syarulnizam, Mohd Luqman Syazwan Zabidi dan Farrah Nasser yang mewakili Noraidah Lamat, 45, ibu kepada Zara Qairina.

Bapa Zara Qairina, Mahathir Hashim @ Marikin, 44, pula diwakili peguam Sherzali Asli bersama dua rakan guaman, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.

Selain itu, peguam Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili seorang remaja yang dituduh berkaitan kes Zara Qairina, manakala Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan mewakili empat remaja lain.

Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.

Ringkasan AI

  • Prosiding inkues kematian Zara Qairina bersambung di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu
  • Saksi ke-13 adalah kanak-kanak kelima yang hadir bersama ibunya
  • Inkues ini melibatkan 35 saksi kanak-kanak dan 25 saksi dewasa
  • Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya sebelum meninggal
  • Pihak berkepentingan termasuk keluarga Zara Qairina dan peguam yang mewakili remaja dituduh berkaitan kes ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!