'Jaga adik-adik, jaga mak' - Pesan terakhir pegawai VAT 69

IPOH - 'Jaga adik-adik, jaga mak.'
Itu pesan terakhir Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin kepada anak sulungnya, Zharif Iman, 19, sebelum pegawai 69 Komando (VAT 69) itu berangkat ke Sabah untuk menjalani latihan menyelam.
Khairil Azhar, 45, meninggal dunia selepas tidak sedarkan diri ketika sedang mengikuti latihan di perairan berhampiran Pos Gabungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pulau Mataking, Semporna Sabah pada Khamis.
Bagi Zharif Iman, pesanan itu bukan sekadar nasihat seorang ayah, tetapi amanah besar yang kini dipikul kepada dua adiknya, Zhakil Iman, 18, dan Merli Dhiya, 11, serta ibu, Merli Zaifa Abdul Sani, 44.
Menurutnya, dua minggu sebelum berangkat ke Sabah, dia bersama ayahnya sempat berbual panjang dan berkongsi cerita yang tanpa disedari menjadi kenangan terakhir mereka berdua.
Katanya, sepanjang berada di Sabah, mereka masih berhubung, sama ada melalui panggilan telefon atau mesej.
"Kali terakhir saya hubungi ayah malam Rabu, lebih kurang jam 11 malam. Ayah tanya ‘nak duit ke?’ Lepas tu tiba-tiba ayah bagi RM50, dia kata untuk belanja sekolah. Itu yang terakhir," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek, Tanjung Rambutan di sini pada Jumaat.
Zharif Iman berkata, berita pemergian ayahnya diterima ketika dia sedang menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi kertas Bahasa Melayu dan Pengajian Perniagaan.
"Saya terima berita itu lebih kurang jam 12 tengah hari. Ibu saudara yang beritahu. Kawan-kawan dan cikgu sebenarnya nak saya habiskan peperiksaan dulu.
"Memang saya tak kuat... tapi alhamdulillah, dengan sokongan cikgu dan keluarga, saya teruskan juga peperiksaan,” katanya.
Beliau turut berkongsi impiannya untuk menyertai pasukan beruniform, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), mengikut jejak arwah ayahnya dan ibu yang bertugas sebagai anggota polis.
"Ayah pernah cakap, kalau nak masuk pasukan uniform, kena kuat, mental kena kuat. Saya memang nak jadi juruterbang. Itu impian saya...nak tunjuk dekat ayah. Tapi saya tak sempat," katanya.
Dalam suasana pilu itu, Zharif Iman berjaya menunaikan satu hasrat terakhir ayahnya iaitu untuk mengimamkan solat jenazah.
"Memang ayah pernah bergurau, dia cakap kalau ayah tak ada, kalau boleh solatkan ayah. Hari ini, saya tunaikan hasrat ayah," katanya.

Jenazah Khairil Azhar selamat dikebumikan dengan istiadat Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek, Tanjung Rambutan sekitar jam 6.10 petang pada Jumaat disaksikan lebih 500 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak-saudara, penduduk kampung dan rakan sepasukan.
Hadir memberi penghormatan terakhir ialah Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh; Timbalan Pengarah KDNKA (Kepolisan Am/Krisis Bencana), Datuk MV Srikumar; Komander Unit Tindakhas (UTK) Senior Asisten Komisioner Hisham Mahmood dan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof.
Pada Khamis media melaporkan, Khairil Azhar tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan menyelam di Pulau Mataking, kira-kira 10.25 pagi.
Khairil Azhar kemudian diberikan bantuan kecemasan dan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Semporna untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail memaklumkan siasatan terperinci akan dijalankan berhubung insiden yang berlaku.
Siasatan itu bagi mengenal pasti punca kejadian, termasuk penilaian terhadap prosedur latihan, penggunaan peralatan serta faktor kesihatan dan keselamatan, selaras dengan peraturan dan tatacara operasi standard yang ditetapkan.
Ringkasan AI
- Pesan terakhir Allahyarham Inspektor Khairil Azhar Kamaruddin kepada anak sulungnya sebelum berangkat ke Sabah untuk latihan menyelam adalah 'Jaga adik-adik, jaga mak'
- Inspektor Khairil Azhar meninggal dunia ketika mengikuti latihan menyelam di Pulau Mataking, Semporna Sabah
- Zharif Iman, anak sulung, menerima berita pemergian ayahnya ketika sedang menduduki peperiksaan STPM
- Zharif Iman mempunyai impian untuk menyertai pasukan beruniform seperti ayahnya dan ingin menjadi juruterbang
- Jenazah Khairil Azhar dikebumikan dengan istiadat Polis Diraja Malaysia di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid Jamek, Tanjung Rambutan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

