Operator maut dalam menara kren tiada unsur jenayah - Polis

JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes seorang operator menara kren yang ditemui meninggal dunia di sebuah tapak projek pembinaan Residensi Puncak Austin, Jalan Seri Austin 4 di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 9.18 pagi selepas mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri di dalam kabin kren.
"Pemeriksaan awal ke atas tubuh mangsa tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah.
“Pihak Hospital Sultan Ismail (HSI) mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayat dihantar ke Unit Forensik untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu laporan rasmi bedah siasat.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Terdahulu, mangsa dikenali sebagai Muhamad Aliff Ishak, 33, dilaporkan tidak sedarkan diri di atas menara kren sebelum pihak bomba dipanggil bagi membantu menurunkan mangsa.
Operasi menurunkan mangsa dilakukan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan bucket stretcher, set tali serta peralatan khas bagi membentuk sistem penurunan dari menara kren.
Mangsa berjaya dibawa turun sebelum disahkan meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut.
Ringkasan AI
- Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes kematian operator kren di Residensi Puncak Austin
- Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, menerima laporan kejadian pada jam 9.18 pagi
- Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan kecederaan atau unsur jenayah pada mangsa
- Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat
- Mangsa, Muhamad Aliff Ishak, 33, berjaya dibawa turun oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sebelum disahkan meninggal
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

