SPM usia 16 tahun: Masuk awal, bersedia awal

PELAKSANAAN dasar baharu yang membenarkan murid berusia enam tahun memasuki Tahun Satu bermula 2027 menandakan satu lagi fasa penyesuaian dalam sistem pendidikan negara.
Dasar berkenaan secara langsung membuka laluan kepada sebahagian murid untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada usia 16 tahun, lebih awal daripada kebiasaan.
Pada asasnya, dasar tersebut tidak mengubah struktur pendidikan sedia ada yang mana perubahan berlaku lebih kepada soal masa kemasukan, bukan pemendekan laluan pendidikan.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, perkara itu telah pun dilaksanakan di Akademi Sains Pendang apabila sebahagian pelajar menduduki SPM lebih awal daripada kebiasaan.
Menurutnya, pengalaman tersebut membuktikan sistem pendidikan negara mampu menampung pelaksanaan dasar baharu berkenaan.
Dalam konteks ini, kesediaan tidak seharusnya ditakrifkan semata-mata berdasarkan keupayaan akademik.
Aspek perkembangan emosi, sosial dan keupayaan menyesuaikan diri di bilik darjah turut memainkan peranan penting dalam memastikan pengalaman pembelajaran yang seimbang.
Kenyataan menteri bahawa guru telah terlatih untuk mengendalikan murid berusia enam tahun juga mencerminkan usaha menyediakan sokongan awal.
Penempatan pembantu guru di sekolah yang mempunyai bilangan murid ramai pula dilihat sebagai langkah praktikal bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran berjalan lancar.
Pada masa sama, kepercayaan ibu bapa terhadap sistem pendidikan menjadi elemen penting dalam menjayakan dasar tersebut.
Maklumat yang jelas dan kefahaman menyeluruh akan membantu ibu bapa membuat keputusan terbaik berdasarkan keperluan dan kesediaan anak masing-masing.
Apa yang penting, pelaksanaan dasar ini perlu disertai pemantauan berterusan dan penilaian dari semasa ke semasa akan memastikan tiada murid yang tercicir, khususnya mereka yang mungkin memerlukan sokongan tambahan dalam menyesuaikan diri.
Dasar kemasukan awal ke Tahun Satu harus dilihat sebagai usaha memperluas pilihan dalam pendidikan, bukan mencipta tekanan baharu kerana dengan sokongan sistem, peranan sekolah dan kepercayaan ibu bapa, tindakan berkenaan berpotensi memperkayakan perjalanan pembelajaran anak-anak negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
