Kerajaan nafi serah lebih 5,000 hektar kepada Indonesia

PUTRAJAYA – [KEMAS KINI] Kerajaan menafikan Malaysia menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan bagi tiga kampung di kawasan Nunukan berhampiran sempadan Sabah-Kalimantan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Seri Arthur Joseph Kurup menegaskan, laporan seperti yang disiarkan oleh portal berita berkaitan perkara itu adalah tidak tepat.
Beliau berkata, pemuktamadan sempadan Malaysia- Indonesia dijalankan melalui proses teknikal dan saintifik, bukannya atas dasar konsesi politik atau timbal balik.
“Rundingan untuk penandaan dan pengukuran di kawasan Outstanding Boundary Problem (OBP) dilaksanakan secara harmoni di antara kedua-dua negara dan tidak bersandarkan kepada prinsip pampasan atau untung-rugi,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau, pemuktamadan sempadan darat ini dilakukan menerusi pemeteraian Memorandum of Understanding (MOU) antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Februari 2025, selepas melalui proses perundingan teknikal komprehensif dan telus selama lebih 45 tahun.
Terdahulu media tempatan Indonesia mendakwa Malaysia memberikan 5,207 hektar tanah kepada negara itu sebagai pampasan.
Ia selepas tiga perkampungan Indonesia di kabupaten Nunukan, wilayah Kalimantan Utara kini berada dalam wilayah Malaysia susulan peralihan garisan sempadan antara kedua-dua negara.
Tiga kampung itu ialah Kampung Kabulangalor, Kampung Lepaga dan Kampung Tetagas, berdekatan sempadan Tawau, Malaysia.
Dalam pada itu, Arthur menjelaskan, hasrat kedua-dua negara untuk menyegerakan penyelesaian isu sempadan di sektor Sabah-Kalimantan Utara (KALTARA) telah dipersetujui semasa lawatan negara bekas Presiden Republik Indonesia, Joko Widodo ke Malaysia pada 8 Jun 2023 selain penglibatan aktif wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai sebahagian delegasi Malaysia.
“Setiap inci pelarasan sempadan dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa seperti Boundary Convention 1891, Boundary Agreement 1915, dan Boundary Convention 1928 serta koordinat geospatial yang tepat, bukan atas dasar konsesi politik,” ujarnya.
Menurutnya, proses teknikal itu turut melibatkan pakar daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta agensi keselamatan, bagi memastikan pengukuran sempadan tepat dan sah diiktiraf antarabangsa.
Beliau menekankan bahawa keuntungan jangka panjang kedaulatan negara adalah lebih strategik bagi Malaysia untuk memiliki sempadan yang diiktiraf sepenuhnya oleh negara jiran dan masyarakat antarabangsa.
"Pengiktirafan ini lebih signifikan berbanding daripada mengekalkan kawasan pertikaian yang tidak mempunyai keabsahan undang-undang," katanya.
Penetapan sempadan yang muktamad memperkukuh kedudukan perundangan negara di peringkat antarabangsa," katanya.
Beliau menambah keputusan itu juga menutup ruang untuk sebarang tuntutan wilayah yang lebih besar pada masa hadapan, sekaligus mengelakkan sebarang ketegangan atau konflik di lapangan.
"Diplomasi berterusan di kawasan OBP dijalankan atas semangat muhibah dan setiakawan antara kedua-dua negara bagi memastikan keharmonian serantau," jelas beliau.
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia menafikan menyerahkan 5,207 hektar tanah kepada Indonesia sebagai pampasan
- Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menegaskan proses pemuktamadan sempadan Malaysia-Indonesia adalah teknikal dan saintifik
- Pemuktamadan sempadan ditandai dengan MOU antara Malaysia dan Indonesia pada 18 Februari 2025
- Setiap penandaan dan pengukuran sempadan dilaksanakan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan koordinat geospatial
- Penetapan sempadan yang muktamad dijalankan untuk mengukuhkan kedudukan perundangan negara dan mengelakkan tuntutan wilayah pada masa hadapan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

