PM arah laporan pelaksanaan RPN 2026-2035 dikemuka mulai Mac ini

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua kementerian, jabatan dan institusi pendidikan yang berkaitan agar mengemukakan laporan proses pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 mulai Mac ini.
Beliau berkata, cabaran utama bukan terletak pada merangka pelan yang kelihatan gah, sebaliknya memastikan setiap program diterjemah dengan berkesan di lapangan.
"Itu bukan sahaja peringatan tetapi amaran keras daripada saya kerana saya bimbang banyak pelan yang kita boleh luncurkan tetapi pelaksanaannya mungkin tidak sampai,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran RPN 2026-2035 di sini pada Selasa.
Anwar berkata, RPN merupakan pelan besar untuk masa depan negara serta generasi muda, dan hanya akan memberi makna sekiranya dilaksanakan dengan baik.
"Jadi, kita berdoa ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan dapat kita capai... ini pelan besar bagi negara kita... ini pelan baik atau rancangan baik untuk anak-anak kita.
"Ini memberikan satu gambaran tentang betapa seriusnya kita untuk membawa perubahan, melakukan lonjakan, transformasi dan reformasi dalam bidang pendidikan bagi memastikan dalam tempoh beberapa tahun ini, mutu pendidikan kita meningkat dan masa depan anak-anak lebih cerah berbanding sekarang,” katanya.
RPN 2026-2035 merupakan langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.
Pelan pendidikan baharu itu membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Ia adalah rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Hadir sama, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar. - Bernama
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan laporan proses pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035
- Cabaran utama adalah memastikan program diterjemah dengan berkesan di lapangan
- RPN adalah pelan besar untuk masa depan negara dan generasi muda
- Reformasi pendidikan untuk membina masa depan generasi muda yang lebih adil dan berdaya saing
- Rancangan ini melibatkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

