BM, Sejarah wajib untuk pelbagai aliran bukan keputusan muktamad kemasukan ke IPTA - Zambry

Zambry Abd Kadir menyampaikan ucapan pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa. Foto Bernama
Zambry Abd Kadir menyampaikan ucapan pada Majlis Perutusan Tahun Baharu 2026 Kementerian Pendidikan Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA, - Langkah mewajibkan pelajar sekolah pelbagai aliran termasuk yang menduduki Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah merupakan langkah awal dan bukan keputusan muktamad bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu bukan hanya mengkhusus kepada UEC tetapi aliran yang tidak berteraskan kepada sistem pendidikan nasional termasuk sekolah antarabangsa, sekolah Arab dan sekolah agama.

"Jadi, seluruh ekosistem itu perlu dipenuhi dulu bagi membolehkan pihak kerajaan membuat langkah seterusnya... ini sangat penting," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pendirian kerajaan ialah memastikan setiap keputusan dasar dibuat secara menyeluruh dan merangkumi semua aliran pendidikan, bukannya menyelesaikan isu untuk satu kelompok sahaja.

Zambry berkata, pendekatan seterusnya hanya akan diumumkan selepas rundingan komprehensif, termasuk libat urus bersama pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan dasar kemasukan ke IPTA diselaraskan secara adil dan konsisten.

"Kita akan lihat seterusnya apakah langkah-langkah yang akan dibuat termasuk di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), dan penyelarasan antara KPM serta Kementerian Pendidikan Tinggi akan dilakukan terlebih dahulu," katanya.

Terdahulu, Anwar mengumumkan sekolah pelbagai aliran pendidikan termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran UEC diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, 10 politeknik di seluruh negara akan dinaik taraf bagi menawarkan program peringkat Ijazah di bawah RPN sekali gus mengangkat kedudukan institusi itu daripada dilihat sebagai "pilihan kedua" kepada antara laluan utama pendidikan tinggi negara.

Beliau berkata, ketika ini, hanya tiga politeknik termasuk Politeknik Ungku Omar dan Politeknik Ibrahim Sultan menawarkan program Ijazah.

Artikel Berkaitan:

Langkah itu, katanya turut membabitkan politeknik di Sabah dan Sarawak sekali gus memastikan peluang pengajian teknikal peringkat ijazah lebih tersebar serta tidak tertumpu di Semenanjung sahaja. - Bernama

Ringkasan AI

  • Langkah mewajibkan pelajar semua aliran termasuk UEC mengambil Bahasa Melayu dan Sejarah bukan keputusan akhir untuk kemasukan ke IPTA
  • Termasuk aliran pendidikan bukan nasional seperti sekolah antarabangsa, sekolah Arab dan sekolah agama
  • Kerajaan akan membuat keputusan dasar pendidikan secara menyeluruh dan merangkumi semua aliran
  • Rundingan komprehensif akan diadakan sebelum mengumumkan pendekatan seterusnya untuk kemasukan ke IPTA
  • 10 politeknik akan dinaik taraf menawarkan program ijazah di bawah Rancangan Pendidikan Negara, termasuk politeknik di Sabah dan Sarawak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!