Hasrat ke Tanah Suci berkecai
Impian pasangan suami isteri pesara kerajaan itu terhenti di KLIA 1, lebih seminggu berkurung di dalam rumah

HARI yang ditunggu-tunggu telah tiba buat pasangan pesara kerajaan, Ruhani Abdullah dan suaminya, Othman Kassim untuk berangkat menunaikan umrah buat pertama kali.
Perasaan mereka bercampur-baur antara teruja, gementar, takut dan gembira sejak sebulan lalu apabila berjaya mendaftarkan diri untuk mengerjakan umrah selepas melihat iklan di media sosial.
Sebelum itu, pelbagai persiapan dilakukan Ruhani, 60, yang bekerja sebagai pembantu tadbir di sebuah sekolah kebangsaan, bersama suaminya yang berusia 63 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori di sebuah agensi kerajaan sebelum ini.
Hasrat untuk mengerjakan umrah sudah lama dinyatakan Ruhani kepada ahli keluarganya ketika beliau masih bekerja, namun kekangan menjadi alasan hinggalah beliau menekadkan azam untuk melaksanakan selepas pencen.
Menurut Ruhani, memandangkan giliran untuk mengerjakan ibadah haji belum tiba, dia mengeluarkan duit simpanannya untuk berangkat ke Tanah Suci bagi melaksanakan umrah terlebih dahulu.
Bercerita mengenai kisahnya itu, Ruhani pada awalnya tidak tahu untuk mula bercerita dari bahagian mana memandangkan kisahnya itu berakhir dengan kesedihan yang begitu mendalam buatnya.
Manakan tidak, wang tabungan yang disimpan sejak bertahun-tahun lamanya sebanyak RM15,000 hilang dalam sekelip mata, gara-gara terlalu percaya dengan ejen.
Ejen mesra, maklumat terperinci
“Dua minggu sebelum kami berlepas, pelbagai persiapan dibuat termasuk mengikuti kursus umrah di masjid, memastikan tahap kesihatan yang baik, membeli pakaian yang sesuai untuk umrah dan ziarah serta banyak lagi.

“Kami juga mengadakan kenduri kesyukuran seminggu sebelum berlepas. Ramai yang mengucapkan tahniah dan ada juga yang mengirimkan doa untuk dibacakan di Makkah, tempat mustajab doa,” cerita Ruhani kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.
Ujarnya, dia tidak mengesyaki apa-apa terhadap ejen tersebut memandangkan dia seorang wanita yang peramah selain menjawab semua persoalan dengan baik.
“Tiket dan dokumen lain yang diberikan juga menyerupai yang sebenar. Dengan penjelasan yang begitu meyakinkan. Kami diberikan pakej premium namun dengan harga ekonomi dengan alasan pakej khas buat pesara kerajaan.
“Antara janjinya termasuklah hotel yang dekat dengan Masjidil Haram, bilik berdua dan siap dengan pakej makan lengkap enam kali sehari termasuk sarapan, minum petang dan makan lewat malam,” katanya.
Sambungnya, pada hari keberangkatan, ahli keluarganya menghantar dia dan suami ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) 1 pada awal pagi.
“Ketika melangkah masuk ke lapangan terbang, perasaan teruja masih menguasai diri, apatah lagi melihat sekumpulan jemaah lain turut hadir bersama ahli keluarga mereka.
“Pada waktu itu, kami masih berhubungan dengan ejen. Dia memberikan panduan yang begitu baik kepada kami walaupun hanya melalui aplikasi WhatsApp.
“Menurut ejen itu, beliau dan suami hanya perlu mendaftarkan diri di Kaunter H dan akan berjumpa dengan mutawif serta jemaah lain selepas itu,” jelasnya.
Nama tiada dalam senarai berlepas
Bagaimanapun ceritanya, ketika berada di Kaunter H dan selepas menunjukkan kepada petugas kaunter penerbangan itu, nyawanya bagaikan ditarik apabila petugas memaklumkam namanya dan suami tiada dalam senarai penerbangan.

“Walaupun ditunjukkan boarding pass yang tertera namanya dan suami, petugas tetap menyatakan namanya tiada dalam senarai untuk berlepas walaupun beberapa kali menyemaknya.
“Hati saya luluh dan saya hampir pengsan. Dunia bagaikan gelap seketika. Suami dan ahli keluarga terus menerpa saya serta meminta untuk duduk di atas kerusi untuk bertenang terlebih dahulu.
“Suami segera menelefon ejen tersebut berkali-kali, namun tidak diangkat. Selang beberapa ketika, akhirnya kami sedar yang kami ditipunya apabila mesej yang dihantar melalui WhatsApp itu tiada balasan selain nombor telefon saya juga disekat ejen tersebut,” ceritanya mengenangkan kembali kisah tersebut yang berlaku lima tahun lalu.
Ujarnya, anak-anaknya juga cuba menghubungi nombor telefon pejabat syarikat tersebut namun pihak syarikat menyatakan tiada penerbangan umrah oleh pihaknya pada hari berkenaan.
“Dari situ kami sedar sudah ditipu ejen palsu. Tiada apa yang boleh kami lakukan selain reda dengan ujian yang menimpa. Kami pulang ke rumah dengan penuh perasaan sedih dan hampa.
“Lebih seminggu saya hanya berkurung di rumah, malu dengan jiran tetangga.
“Mungkin ALLAH SWT mahu berikan suatu yang lebih baik,” katanya.

Beliau dan suami berpegang dengan kata-kata tersebut dan akhirnya setahun kemudian, mereka berdua dijemput ALLAH SWT untuk mengerjakan ibadah haji selepas rayuannya diterima.
Beliau berpesan kepada orang ramai agar menyemak pakej yang ditawarkan dan memastikan ejen yang sah sebelum membuat bayaran dan tempahan.
Ringkasan AI
- Hari yang dinanti-nantikan oleh pasangan pesara kerajaan, Ruhani Abdullah dan suaminya, Othman Kassim untuk mengerjakan umrah buat pertama kali Ruhani, bekas pembantu tadbir dan suaminya, bekas pemandu lori, telah melakukan persiapan untuk umrah setelah menekadkan azam selepas pencen Mereka tertipu RM15,000 oleh ejen palsu yang menawarkan pakej premium umrah dengan harga ekonomi Nama mereka tidak terdapat dalam senarai penerbangan dan menyedari mereka telah ditipu setelah ejen tersebut tidak mengangkat telefon dan menyekat nombor mereka Akhirnya, setahun kemudian, mereka berdua dijemput untuk mengerjakan ibadah haji selepas rayuannya diterima
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

