Israk dan Mikraj: Peristiwa agung mencarik adat
Dr Zulkifli mengungkap kembali kisah Rasulullah SAW naik ke langit sebagai pengajaran buat umat Islam

TANGGAL 27 Rejab setiap tahun pasti diingati umat Islam memandangkan peristiwa Israk dan Mikraj yang dilalui Rasulullah SAW itu merupakan kisah agung yang sarat dengan pengajaran dan hikmah mendalam.
Berbeza dengan sambutan Awal Muharam atau tahun baharu hijrah yang biasanya disambut dengan perarakan sempena hijrah Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah, Israk dan Mikraj biasanya disambut dengan penceritaan semula kisah Baginda ini untuk diambil pengajaran.
Israk dan Mikraj bukan sekadar perjalanan luar biasa Rasulullah SAW dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa dan seterusnya ke Sidratul Muntaha di langit, tetapi ia juga bukti kebesaran ALLAH SWT serta pengukuhan iman bagi umat Islam.
Menceritakan kembali kisah tersebut, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, banyak pengajaran yang dapat dikutip daripada peristiwa Israk dan Mikraj itu namun beliau akan memfokuskan kepada beberapa perkara penting.
“Saban tahun kita mendengar kisah Israk dan Mikraj ini disampaikan penceramah dengan pelbagai cara dan dengan masa yang ada ini, kita ambil sejuzuk daripada iktibarnya.

“Mudah-mudahan ALLAH SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita semua,” ujarnya pada permulaan Ceramah Perdana Israk dan Mikraj yang dianjurkan Masjid Bukit Indah, Ampang, Selangor baru-baru ini.
Firman ALLAH SWT: “MAHA SUCI (ALLAH) yang telah memperjalankan hamba-NYA (Muhammad) pada satu malam dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya agar Kami memperlihatkan sebahagian tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya DIA MAHA MENDENGAR lagi MAHA MELIHAT.” (Surah al-Israk: 1)
Berdasarkan ayat al-Quran itu, Dr Zulkifli menjelaskan ALLAH SWT memulakan ayat dan surah tersebut dengan perkataan Subhana iaitu MAHA SUCI yang merujuk kepada ALLAH SWT.
“Perkataan ini membawa maksud menyucikan ALLAH SWT daripada segala perkara yang buruk, jahat dan apa yang menunjukkan kekurangan.
“Maknanya, segala pertimbangan, ukuran, hukum, undang-undang, logik akal, fizik, matematik, sains dan urufnya kena buang (tolak tepi).
“Ini kerana apabila ALLAH berkehendak maka jadilah ia, yang disebut sebagai kun fayakun. Inilah hukum Tuhan,” jelasnya.

Hurainya, sebagai hamba ALLAH, apabila mendengar ayat ini, umat Islam wajib dengar, beriman dan taat serta tidak perlu mempersoalkannya.
Nabi dibedah dalam keadaan jaga
Dalam kisah Israk dan Mikraj ini ujarnya, ALLAH menceritakan kesinambungan mukjizat demi mukjizat yang mencarik adat (khawarikul 'adat), yang dianugerahkan kepada Nabi untuk memperlihatkan tanda-tanda kebesaran dan keagungan-NYA.
“Pengajaran pertama yang boleh diambil daripada permulaan kisah Israk dan Mikraj ini, kita diajar untuk membuat persediaan secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
“Sebagai contoh ketika ingin menunaikan ibadah haji, pelbagai persediaan dibuat dari pelbagai aspek iaitu bajet, bekalan kepada anak dan keluarga yang ditinggalkan, kesihatan, pakaian dan apa yang lebih penting lagi ilmu pelaksanaan haji itu sendiri,” jelasnya.
Tambahnya, perjalanan menuju Tuhan lebih-lebih lagi diperlukan persiapan dan sebelum Nabi Muhammad SAW diperjalankan pada malam itu, badan Baginda dibedah dalam keadaan jaga.
“Ajaibnya, Nabi dibedah bukan dalam keadaan pengsan atau dibius. Nabi sendiri menceritakannya secara terperinci satu persatu.
“Dikeluarkan jantung atau hati baginda, dibersihkan serta dimasukkan iman dan hikmah ke dalam hatinya,” jelas mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu.

Katanya, dengan teknologi yang cukup canggih sekarang ini, kita tidak mampu untuk menandingi proses pembedahan yang dilakukan malaikat Jibril ke atas Nabi SAW.
“Ini cerita 1,400 tahun lalu. Zaman Nabi dahulu tidak ada pakar, kelengkapan bedah dan ubat bius.
“Zaman kini teknologi sangat canggih, ditambah dengan artificial intelligence (AI). Namun mukjiat tersebut tidak dapat ditandingi walau dengan kecanggihan sekarang,” hurainya.
Ujarnya, perkara ini bersifat maknawi dan sengaja ditunjukkan ALLAH SWT kepada para hamba-NYA.
“Satu lagi pengajaran di sini bahawa masalah hati merupakan masalah utama dalam diri manusia. “Hati juga menjadi tempat untuk syaitan menguasai diri kita. Disebabkan itu juga Imam Al-Ghazali, seorang ulama besar fiqah yang kemudiannya cenderung kepada ilmu tasawuf, menulis kitab Minhaj al-Abidin berkaitan dengan hati,” jelasnya.
Iman dan hikmah
Dr Zulkifli menyambung, hati manusia ini perlu dimasukkan dua perkara tersebut iaitu iman dan hikmah atau ilmu.
“Ini kerana perjalanan yang disertai iman tanpa ilmu, natijahnya akan hina di dunia. Jika hanya disertai ilmu tanpa iman pula, kita akan hina di akhirat.
“Oleh sebab itu perlunya kedua-dua aspek tersebut perlu seiring dan ditambah pula dengan amal, maka jadilah kita sebagai orang yang bertakwa.
“Kedua-dua aspek ini iaitu iman dan ilmu perlu dipasakkan dalam diri dan perlu diajarkan kepada anak-anak,” katanya.

Penulis buku Israk dan Mikraj Perjalanan kepada Yang Maha Agung terbitan Karya Bestari itu menambah, ajaibnya selepas pembedahan tersebut, Nabi Muhammad tidak perlu menunggu masa yang lama untuk sembuh.
“Ini juga mencarik adat apabila Baginda SAW terus bermusafir selepas dibedah.
“Begitu juga dengan haiwan tunggangan Nabi iaitu Buraq, ia merupakan binatang yang disebut lebih besar dari keldai dan lebih kecil dari baghal.
“Langkahannya sejauh mata memandang, seperti terbang. Sifatnya mesra bunyi, tidak seperti kapal terbang yang bising,” ceritanya.
Satu lagi perkara yang luar biasa berlaku apabila tempoh masa yang singkat digunakan Baginda SAW dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa yang sangat jauh dan membingungkan orang kafir Quraisy yang menuduh Nabi Muhammad berdusta, ujar Dr Zulkifli.
Anugerah solat di langit
Dalam peristiwa ini juga, ALLAH SWT menganugerahkan kewajipan solat kepada Nabi Muhammad SAW melalui perintah langsung daripada-NYA.
“Berbeza dengan ibadah puasa, zakat, haji, perang, jihad, wasiat dan lain-lain lagi, ia diperintahkan melalui wahyu di bumi.
“Akan tetapi apabila berkaitan dengan solat, ALLAH SWT memerintahkan terus kepada Nabi di langit dan ia membawa makna yang sangat besar,” katanya.
Ujarnya, antara perkara yang dikaitkan dengan solat ialah ia merupakan perkara pertama yang akan dihisab ALLAH SWT pada hari akhirat.
“Peliknya solat ini, ia memerlukan mukaddimah iaitu wuduk (berbanding dengan ibadah lain). Ia juga memerlukan tempat untuk dilaksanakan.
“Sesukar mana pun keadaan kita, solat tetap wajib ditunaikan dan ia juga tempat untuk kita hamba-NYA meminta pertolongan ALLAH,” jelasnya sambil merujuk kepada ayat ke-153 surah al-Baqarah.
"Wahai orang-orang beriman, mintalah pertolongan dengan sabar dan solat."
Tambahnya, jika seseorang itu mahu membebaskan diri daripada belenggu hutang, maka lazimilah solat.

“Begitu juga pelajar yang ingin menghafal, perbanyakkan solat. Solat juga mengajar kita untuk menjaga dan memelihara masa.
“Selain itu, jika mahu keluarga bahagia dan selamat daripada huru-hara, jalannya juga melalui solat,” katanya.
Kronologi ringkas Israk dan Mikraj:
1. Israk (Perjalanan malam):
- Bermula di Masjidil Haram, Nabi Muhammad SAW menunggang Buraq (haiwan dari syurga) dibawa Malaikat Jibril.
- Dada Nabi dibelah, hati dibersihkan dengan air zamzam.
- Tiba di Masjid al-Aqsa, Nabi solat dua rakaat dan menjadi imam bagi para nabi.
- Ditawarkan minuman susu dan arak, Baginda memilih susu (fitrah).
2. Mikraj (Naik ke langit):
- Nabi SAW diangkat ke lapisan langit satu persatu, bertemu nabi-nabi seperti Adam, Isa, Musa dan Ibrahim AS.
- Di Sidratul Muntaha, menerima perintah solat 50 waktu yang dikurangkan menjadi lima waktu setelah memohon keringanan kepada ALLAH atas saranan Nabi Musa AS.
- Menyaksikan pelbagai keajaiban dan tanda kebesaran ALLAH.
3. Kembali ke Makkah:
- Berlaku dalam satu malam.
- Penduduk Makkah ramai tidak percaya, tetapi Abu Bakar As-Siddiq membenarkannya.
4. Pengajaran penting:
- Penguat Iman: Menguatkan Nabi SAW di saat kesedihan (tahun dukacita).
- Solat: Perintah solat fardu lima waktu merupakan anugerah terbesar, penawar jiwa dan amalan pertama disoal di akhirat.
- Keistimewaan Nabi: Menegaskan kedudukan tinggi Nabi Muhammad SAW sebagai rasul terakhir.
- Kebenaran: Bukti kebesaran ALLAH yang nyata (bukan mimpi).
Ringkasan AI
- Tanggal 27 Rejab diingati umat Islam kerana peristiwa Israk dan Mikraj yang merupakan kisah agung dengan pengajaran mendalam Israk dan Mikraj bukti kebesaran ALLAH dan pengukuhan iman bagi umat Islam, bukan hanya perjalanan luar biasa Rasulullah SAW Dalam kisah Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad SAW dibedah dalam keadaan jaga, jantung dibersihkan dan dimasukkan iman serta hikmah ALLAH SWT menganugerahkan kewajipan solat kepada Nabi Muhammad SAW secara langsung di langit, berbeza dengan ibadah lain yang diperintahkan di bumi Israk (perjalanan malam Nabi dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa) dan Mikraj (naik ke langit, bertemu nabi-nabi lain, dan menerima perintah solat) merupakan kronologi ringkas peristiwa tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

