Bekas pengurus kanan didakwa terima, lupus wang RM1.4 juta

IPOH - Bekas pengurus kanan sebuah syarikat multinasional dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Jumaat atas dua pertuduhan menerima dan melupuskan wang berjumlah lebih RM1.4 juta milik sebuah syarikat di Indonesia, tiga tahun lalu.
Tertuduh, VN Vemal, 36, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S Punitha.
Mengikut pertuduhan pertama, Vemal didakwa secara tidak jujur menerima harta curi iaitu wang tunai berjumlah RM1,479,289.94 ke dalam akaun miliknya di Maybank Jalan Sultan Idris Shah dalam daerah Ipoh pada 29 September 2023.
Wang tersebut adalah milik PT Parit Sembada iaitu anak syarikat kepada Kuala Lumpur Kepong Berhad yang mana tertuduh didakwa mengetahui wang berkenaan adalah harta curi.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh pada tarikh dan tempat sama didakwa secara tidak jujur melupuskan harta iaitu wang berjumlah RM1,082,005.00 dengan memindahkan wang tersebut daripada akaun miliknya ke satu akaun syarikat walaupun mengetahui wang berkenaan adalah milik PT Parit Sembada.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang turut memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Zulqarnain Wan Asmira menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan mengambil kira jumlah transaksi wang yang besar melibatkan lebih RM1 juta.
Beliau turut memohon syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah kerana tertuduh sebelum ini dikesan berada di Indonesia dan terpaksa dibawa pulang bagi tujuan pertuduhan.
Peguam Gurbachan Singh dan Aashwini Rajan yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guam mereka kini tidak bekerja serta tidak mempunyai pendapatan, namun tidak membantah jumlah jaminan yang dicadangkan pendakwaan dan bersedia menyerahkan pasport.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Tarikh 19 Mac depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.
Ringkasan AI
- Bekas pengurus kanan syarikat multinasional dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menerima dan melupuskan wang RM1.4 juta milik syarikat Indonesia
- VN Vemal, 36, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh
- Didakwa menerima wang berjumlah RM1,479,289.94 secara tidak jujur ke dalam akaun Maybank
- Juga didakwa melupuskan wang RM1,082,005.00 dengan memindahkannya ke akaun syarikat lain
- Diikat jamin RM7,000 dengan syarat pasport diserahkan kepada mahkamah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

