Bekas pegawai Mara didakwa lagi atas 22 pertuduhan

Nor Hasmal Hazwani (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Muar.
Nor Hasmal Hazwani (tengah) dibawa ke Mahkamah Sesyen Muar.
A
A
A

MUAR – Seorang bekas pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baru dua hari lalu membayar ikat jamin bagi 25 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran balik pinjaman, sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu.

Tertuduh, Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, 40, mengaku tidak bersalah atas 22 pertuduhan sebaik semua pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.

Mengikut semua pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan pecah amanah melibatkan wang bayaran balik pinjaman berjumlah RM29,601.53 yang didepositkan oleh dua peminjam wanita berusia 32 dan 55 tahun.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Mara Daerah Tangkak antara 4 Oktober 2022 hingga 8 Oktober 2024.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain beberapa syarat tambahan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM19,000 bagi semua pertuduhan, dan tertuduh turut diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada hari Isnin pertama setiap bulan.

Kes akan disebut semula pada 8 April ini bagi tujuan penyerahan dokumen dan pelantikan peguam.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, pada Isnin lalu, tertuduh dihadapkan ke mahkamah sama dan mengaku tidak bersalah terhadap 25 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM15,839.66 yang didepositkan oleh empat peminjam berusia antara 41 hingga 55 tahun.

Setakat ini, sebanyak 47 daripada keseluruhan 66 pertuduhan telah dikemukakan terhadap tertuduh.

Difahamkan, tertuduh akan dihadapkan ke mahkamah pada Khamis bagi baki 19 lagi pertuduhan berkaitan kesalahan sama.

Ringkasan AI

  • Seorang bekas pegawai Mara dihadapkan ke mahkamah atas 22 pertuduhan pecah amanah
  • Tertuduh, Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, didakwa atas pecah amanah melibatkan RM29,601.53
  • Kesalahan dilakukan di Pejabat Mara Daerah Tangkak antara 4 Oktober 2022 hingga 8 Oktober 2024
  • Seksyen 406 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda
  • Tertuduh diikat jamin RM19,000 dan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!