Sorok dadah RM37.3 juta dalam simen, polis bongkar taktik baharu sindiket antarabangsa

Hussein (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis MDMA yang telah diproses dan disorok dalam bentuk ketulan campuran simen seberat kira-kira 618.24 kilogram yang didalangi sindiket antarabangsa.
Hussein (tengah) menunjukkan rampasan dadah jenis MDMA yang telah diproses dan disorok dalam bentuk ketulan campuran simen seberat kira-kira 618.24 kilogram yang didalangi sindiket antarabangsa.
A
A
A

IPOH - Sindiket pengedaran dadah antarabangsa kini dikesan menggunakan taktik terbaharu dengan menyembunyikan dadah dalam campuran simen.

Taktik itu terbongkar hasil kejayaan serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ke atas stor penyimpanan dadah yang beroperasi di sebuah banglo di Jalan Tun Dr Ismail di sini dengan rampasan RM37.3 juta, 16 Januari lalu.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menemui 843.33 kilogram dadah disyaki jenis methamphetamine, 679.22 kilogram cecair dan serbuk bahan kimia dipercayai prekursor dadah serta pelbagai peralatan memproses dadah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan parkir kenderaan premis kemudiannya menjumpai dadah jenis MDMA yang telah diproses dan disorok dalam bentuk ketulan campuran simen seberat kira-kira 618.24 kilogram.

Pelbagai peralatan memproses dadah turut dirampas dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ke atas stor penyimpanan dadah yang beroperasi di sebuah banglo di Jalan Tun Dr Ismail di Ipoh, 16 Januari lalu.
Pelbagai peralatan memproses dadah turut dirampas dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ke atas stor penyimpanan dadah yang beroperasi di sebuah banglo di Jalan Tun Dr Ismail di Ipoh, 16 Januari lalu.

"Sejak operasi JSJN diperhebat, kumpulan sindiket ini menggunakan pelbagai teknik menyembunyikan dadah untuk elak dikesan.

"Sebelum ini mereka menyembunyikan dadah dalam jus minuman, minyak zaitun, kanvas dan bahan binaan.

"Dan kali ini, kita menemui dadah disembunyikan dalam bentuk simen pula," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Hussein berkata, dalam operasi sama, pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan berusia awal 30-an yang dipercayai berperanan membantu operasi sindiket berkenaan.

Katanya, sindiket berkenaan dipercayai aktif sejak Disember 2024 dan didalangi oleh warga asing yang bertindak sebagai koordinator dengan menggunakan kediaman mewah sebagai lokasi strategik untuk penyimpanan dan pemprosesan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan dan antarabangsa.

"Jika kita lambat bertindak, premis ini berpotensi menjadi makmal dadah haram berskala besar. Semua bahan dan peralatan sudah lengkap, cuma menunggu ahli kimia dadah untuk memulakan proses," katanya.

Pihaknya percaya, sindiket sama mengendalikan beberapa makmal dadah haram di Lembah Klang, Ipoh dan Pulau Pinang dengan menjadikan Malaysia sebagai pusat pemprosesan dan transit.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, dua suspek yang ditahan telah direman selama 13 hari sehingga 29 Januari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, JSJN kini sedang mengesan seorang lagi lelaki warga China yang dipercayai dalang utama sindiket yang telah keluar masuk Malaysia sebanyak lima kali dengan kemasukan terakhir pada Ogos 2025.

"Hasil semakan dengan Biro Narkotik Hong Kong mendapati individu ini mempunyai empat rekod lampau berkaitan kes dadah. Pihak berkuasa Hong Kong kini bekerjasama dengan kita untuk mengesan dan menangkap suspek," katanya.

 

Ringkasan AI

  • Sindiket antarabangsa menggunakan taktik menyembunyikan dadah dalam campuran simen
  • Serbuan di Ipoh membuahkan hasil rampasan dadah bernilai RM37.3 juta
  • Pengedaran dadah melibatkan penggunaan premis mewah sebagai lokasi strategik penyimpanan dan pemprosesan
  • Dua warga tempatan ditahan berkaitan dengan operasi sindiket dadah ini
  • Pihak berkuasa sedang mengesan seorang lelaki warga China yang dipercayai dalang utama sindiket ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!