Polis kesan suspek pecah rumah bersenjata

KOTA TINGGI – Polis giat mengesan suspek yang terlibat dalam kes pecah rumah di Jalan Persada 17, Residensi Prima di sini setelah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian tersebut tular di media sosial.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Yusof Othman, Unit Media Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi mengesan satu hantaran video berkenaan pada jam 8 malam pada Khamis.
“Polis mengambil maklum mengenai hantaran berkenaan dan siasatan mendapati satu laporan polis telah diterima pada Rabu lalu pada jam 6.06 pagi.
“Laporan dibuat oleh seorang lelaki warga tempatan berkaitan kes pecah rumah dengan anggaran kerugian kira-kira RM1,000.
"Polis mendapati video tersebut memaparkan kejadian rompakan bersenjata," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Yusof, susulan laporan itu, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun atau denda dan jika melibatkan kesalahan mencuri, pesalah boleh dipenjara sehingga 14 tahun jika sabit kesalahan.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Sarjan Muhammad Asrul bin Ishak di talian 017-534 1109 atau mana-mana balai polis berhampiran.
"Maklumat juga boleh disalurkan melalui Hotline Polis IPD Kota Tinggi di talian 07-883 1222," katanya.
Ringkasan AI
- Polis Kota Tinggi mengesan suspek kes pecah rumah di Jalan Persada 17, Residensi Prima
- Rakaman CCTV kejadian pecah rumah tular di media sosial
- Laporan polis dibuat berkaitan kerugian anggaran RM1,000
- Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, hukuman maksimum penjara 14 tahun
- Orang ramai diminta bantu siasatan dengan menghubungi Sarjan Muhammad Asrul atau talian hotline Polis IPD Kota Tinggi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
