Polis kesan suspek pecah cermin kereta, larikan beg berisi wang tunai

JOHOR BAHRU - Polis sedang mengesan beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kejadian memecahkan cermin kereta Tesla dan melarikan beg berisi wang tunai dengan anggaran kerugian RM100,000 di Taman Perling di sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya mengesan sebuah video tular di laman Facebook yang memaparkan kejadian itu, sebelum menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 34 tahun jam 1.34 tengah hari, pada hari sama.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 10.11 pagi, bila mangsa meletakkan kereta elektrik miliknya dalam keadaan baik (berkunci), namun, apabila mahu menggunakannya, dia mendapati cermin hadapan bahagian pemandu telah dipecahkan oleh suspek yang tidak dikenali.
"Mangsa mendakwa barang yang dilaporkan hilang ialah sebuah beg berisi sejumlah wang tunai dengan anggaran kerugian sebanyak RM100,000,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu agar menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara menerusi talian 07-5563122. - Bernama
Ringkasan AI
- Polis Johor Bahru sedang mencari individu yang pecah cermin kereta Tesla dan curi beg wang tunai di Taman Perling
- Kejadian menyebabkan kerugian anggaran RM100,000
- Kejadian berlangsung 27 September, pukul 10.11 pagi
- Mangsa adalah lelaki berumur 34 tahun yang kereta elektriknya diceroboh
- Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
