X

Kindly register in order to view this article
!

Cecair pembasmi kuman penyelidik UMP dapat permintaan tinggi

Dr Mimi Sakinah menunjukkan produk cecair pembunuh kuman, Germs Free Hand Sanitizer hasil inovasi penyelidik UMP yang kini mendapat permintaan tinggi ekoran penularan wabak Covid-19.
A
A

KUANTAN - Produk cecair pembasmi kuman hasil inovasi penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang (UMP) mendapat permintaan tinggi lebih 10 kali ganda ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Produk dinamakan Germs Free Hand Sanitizer yang dihasilkan menggunakan ekstrak daun sireh, aloe vera dan vitamin E itu berbeza dengan cecair pembunuh kuman sedia ada di pasaran dan sesuai untuk kulit.

Penyelidik dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Datin Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim berkata, selain dapat merencatkan pembiakan kuman, produk yang dihasilkan itu juga tidak memberi sebarang kesan negatif pada kulit dan selamat digunakan.

Beliau yang berpengalaman lebih 12 tahun dalam penghasilan produk cecair pembasmi kuman itu berkata, Germs Free Hand Sanitizer dihasilkan dalam makmal UMP yang mempunyai pensijilan MS ISO 13485:2016 dan memenuhi kualiti standard antarabangsa.

"Inovasi ini telah diuji di Makmal Bioserasi dan Klinik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi memastikan ia selamat digunakan dan tiada kesan sampingan negatif.

"Produk ini juga telah diuji terhadap bakteria dan virus (inhibit germs) dengan formula baru kandungan alkohol optimum iaitu 75 peratus dan ianya tidak merengsakan kulit," katanya.

Dr Mimi Sakinah berkata, pihaknya juga melakukan penyelidikan lanjutan dengan mempelbagaikan aroma semula jadi, malah ada juga permintaan supaya ia tidak dicampur dengan pewangi lain bagi kegunaan jemaah haji atau umrah.

"Ekoran situasi semasa kini, pihak kami berdepan kekangan untuk pengeluaran produk ini bagi menampung permintaan yang tinggi.

"Antara masalah dihadapi termasuk peningkatan harga bahan mentah (alkohol) yang meningkat 50 peratus dan kesukaran mendapatkannya.

"Ditambah dengan kenaikan harga botol sehingga 150 peratus selain bekalan botol dan pam yang diperoleh ketika ini rentetan penutupan operasi kilang akibat penularan wabak Covid-19," katanya.

Sementara itu, beliau menggesa orang ramai bijak memilih cecair pembasmi kuman di pasaran dengan memeriksa kandungan label produk dan paling utama adalah kandungan alkohol (sama ada isopropyl alcohol atau ethanol) kerana peratusan yang sesuai untuk membunuh kuman adalah 70 hingga 75 peratus.

"Selain itu, pastikan tiada kandungan yang berbahaya seperti triclosan, paraben dan lain-lain bahan kimia yang merupakan agen kanser atau gangguan terhadap hormon manusia.

“Sekiranya kulit kita sensitif, lebih baik memilih produk cecair berbentuk gel mengandungi aloe vera, glicerin serta vitamin E yang juga baik untuk menjaga kelembapan kulit," katanya.

Beliau berkata, lebih penting pastikan produk tersebut dihasilkan dari pengeluar yang telah mendapat pengiktirafan atau yang telah mendaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM).

Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menghasilkan cecair pembunuh kuman sesuka hati tanpa merujuk kepada mereka yang berpengetahuan dalam bidang sains.

Menurutnya, ketika ini ramai yang cuba menghasilkan sendiri cecair pembunuh kuman itu ekoran kesukaran mendapat bekalan di pasaran ketika penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda kebanyakan negara.

"Penggunaan bahan kimia bagi menghasilkan cecair dikhuatiri boleh mengundang perkara buruk seperti kebakaran dan membahayakan diri.

"Ujian perencatan terhadap microb juga perlu dilakukan terhadap produk dihasilkan bagi memastikan ia selamat digunakan tanpa kesan sampingan lain dan yang paling utama produk tersebut benar-benar mampu membunuh kuman," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus