[VIDEO] Bekas wartawan didakwa terima rasuah lebih RM36,000, 'jual' gelaran Datuk Seri
AYER KEROH - Seorang bekas wartawan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas pertuduhan menerima rasuah lebih RM36,000 dan 'menjual' gelaran Datuk Seri kepada seorang ahli perniagaan sempena Majlis Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Nurfateha Othman, 44, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan terhadap empat pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Prosiding pertuduhan dijalankan di Hospital Besar Melaka selepas mahkamah membenarkan permohonan pendakwaan berikutan tertuduh sedang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang juga bekas ahli sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) didakwa menerima wang rasuah itu daripada individu tersebut sebagai dorongan untuk menjanjikan penganugerahan gelaran Datuk Seri, sedangkan tertuduh tidak mempunyai sebarang kuasa untuk memberikan pangkat tersebut.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM25,559.50 antara 23 November 2022 hingga 23 November 2023 melalui transaksi dalam talian daripada akaun bank milik syarikat isteri kepada ahli perniagaan terbabit.
Untuk pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM2,440 antara 13 Disember 2022 hingga 1 Jun 2023 melalui transaksi dalam talian daripada akaun bank peribadi milik isteri ahli perniagaan tersebut.
Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa menerima wang rasuah berjumlah RM8,825 antara 28 Disember 2022 hingga 2 November 2023 ke dalam akaun bank miliknya melalui transaksi dalam talian daripada akaun bank peribadi individu sama.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Melaka dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Hukuman itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Selain itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan keempat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan kerana didakwa pada September 2023 telah memberikan dokumen palsu,iaitu Surat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka 2023 kepada ahli perniagaan terbabit dengan niat untuk menipu sedangkan tiada sebarang pengurniaan sebenar dibuat.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun dan denda bagi pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Sa’ari, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 23 Februari 2026 sebagai tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk pemerhatian bagi mendapatkan perakuan bertulis daripada pengarah perubatan hospital berkenaan mengenai tahap kesihatan tertuduh.
Ringkasan AI
- Seorang bekas wartawan didakwa kerana menerima rasuah lebih RM36,000
- Tertuduh didakwa menjual gelaran Datuk Seri kepada seorang ahli perniagaan
- Prosiding pertuduhan dijalankan di Hospital Besar Melaka kerana tertuduh sedang menerima rawatan
- Tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan yang dibacakan
- Tertuduh juga berdepan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

