AMK bantah cadangan Guan Eng tukar nama Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane

Muhammad Zakwan
Muhammad Zakwan
A
A
A

BUTTERWORTH - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pulau Pinang membantah cadangan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng untuk menukar nama Jalan Pantai Bersih di sini, kepada nama Dragon Temple Lane.

Ketuanya, Muhammad Zakwan Mustafa Kamal berkata, pihaknya tidak bersetuju sama sekali dengan cadangan untuk menukar nama Jalan Pantai Bersih seperti yang diminta oleh penasihat DAP itu.

Beliau berkata, tidak kira apa pun alasan yang diberikan, AMK Pulau Pinang menegaskan bahawa nama Jalan Pantai Bersih telah sebati dengan penduduk setempat serta mencerminkan identiti kawasan, sejarah dan memori kolektif masyarakat yang telah lama mendiami kawasan tersebut.

"Sebarang usaha untuk menukar nama jalan yang telah digunakan sejak sekian lama tanpa keperluan mendesak hanya akan mengelirukan penduduk serta menimbulkan ketidakselesaan awam.

"AMK Pulau Pinang berpandangan bahawa tindakan sebegini tidak inklusif, serta langsung tidak munasabah dan tidak mencerminkan keutamaan sebenar rakyat yang lebih memerlukan penyelesaian kepada isu kos sara hidup, perumahan dan kebajikan,"katanya menerusi kenyataan di sini, pada Sabtu.

Muhammad Zakwan berkata, AMK Pulau Pinang menyatakan keyakinan bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang akan mengambil kira sentimen rakyat setempat dan mendahulukan kepentingan umum dengan tidak mempertimbangkan cadangan penukaran nama jalan ini, demi memelihara keharmonian masyarakat berbilang kaum serta menghormati sejarah dan identiti tempatan.

Katanya, AMK Pulau Pinang akan terus konsisten mempertahankan kepentingan rakyat dan menolak sebarang tindakan simbolik yang tidak memberi nilai tambah serta tidak membawa manfaat sebenar kepada masyarakat.

Sebelum ini tular mengenai laporan akhbar berbahasa Cina mengenai cadangan Guan Eng yang menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang supaya menamakan semula Jalan Pantai Bersih kepada Dragon Temple Lane.

Difahamkan, cadangan itu bagi memenuhi hasrat jawatankuasa pengurusan tokong berkenaan tersebut serta menganggapnya sebagai 'ang pau' Tahun Baharu Cina (CNY) kepada penduduk Butterworth.

Artikel Berkaitan:

Memetik laporan akhbar itu, beliau berkata, Ketua Menteri memaklumkan bahawa beliau akan mempertimbangkan cadangan tersebut dan telah mengarahkan Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Pulau Pinang, Zairil Khir Johari untuk mengendalikan perkara itu, namun kerja-kerja berkaitan masih belum diselesaikan.

Beliau berharap Ketua Menteri dapat menggunakan kuasa yang ada untuk menyampaikan berita baik kepada orang ramai sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!