'Kami sudah tinggal di sini hampir 10 tahun'

DUNGUN – Seramai 14 keluarga Orang Asli daripada suku kaum Semaq Beri, Jakun dan Temiar di Kampung Durian Mentangau di sini mendakwa diarah berpindah selepas menerima notis amaran daripada Pejabat Daerah dan Tanah Dungun kerana menduduki kawasan berkenaan tanpa kebenaran.
Tok Batin kampung tersebut, Anuar Bakung, 57, berkata, mereka telah menetap di kawasan itu sejak kira-kira 10 tahun lalu dan menjadikan hasil hutan serta kerja-kerja kampung sebagai sumber utama pendapatan.
Menurutnya, notis amaran yang diterima baru-baru ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk kerana khuatir kediaman mereka akan dirobohkan.
"Kami sudah tinggal di sini hampir 10 tahun. Dahulu kami hidup dalam serba kekurangan, tinggal di pondok kayu beratapkan kanvas.
"Anak-anak membesar di sini, berkahwin dan sekarang jumlah penduduk mencecah 51 orang, kalau boleh pertimbangan jangan robohkan rumah kami ini," katanya ketika ditemui di perkampungan itu pada Selasa.
Anuar berkata, penduduk di situ sebelum ini menerima bantuan sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Insaf Malaysia yang membina 14 buah rumah untuk mereka tinggal dengan lebih selesa, tahun lalu.
Jelasnya, satu permohonan bertulis bagi mendapatkan kelulusan menduduki kawasan berkenaan telah dikemukakan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Dungun pada Jun tahun lalu sebelum notis amaran itu dikeluarkan.
Seorang lagi penduduk, Atah Kulit, 62, berkata, mereka merayu agar kerajaan membenarkan komuniti orang asli itu terus menetap di kawasan berkenaan memandangkan ia telah menjadi tempat tinggal turun-temurun selama sedekad lalu.
"Kami bukan baru sehari dua tinggal di sini. Kami sudah ada rumah yang selesa, harap pihak berkuasa tidak mengambil tindakan terhadap kami," katanya.

Sementara itu, wakil NGO Insaf Malaysia, Othman Omar berkata, pihaknya membelanjakan kira-kira RM560,000 bagi membina 14 buah rumah untuk keluarga orang asli terbabit selepas melihat keadaan kediaman asal mereka yang sangat daif.
Menurutnya, rumah yang dibina dilengkapi dua bilik dan kemudahan lampu solar bagi memberi keselesaan asas kepada penduduk.
"Kami juga telah adakan perbincangan dengan Pejabat Daerah Dungun bagi membantu komuniti orang asli di sini mendapatkan kelulusan penempatan.
"Keperluan paling mendesak mereka sekarang ialah penyediaan bekalan air bersih bagi kegunaan harian termasuk mandi, berwuduk dan memasak.
"Jika bekalan air bersih dapat disediakan, kami akan berusaha memastikan 11 kanak-kanak orang asli di sini dapat mendaftar dan bersekolah di sekolah rendah serta menengah berhampiran," katanya.
Ringkasan AI
- 14 keluarga Orang Asli dari suku Semaq Beri, Jakun dan Temiar di Kampung Durian Mentangau diarah berpindah setelah menduduki tanah tanpa kebenaran
- Mereka telah menetap di kawasan tersebut selama kira-kira 10 tahun dan menjadikan hasil hutan serta kerja kampung sebagai sumber pendapatan
- Notis amaran yang diterima menimbulkan kebimbangan akan kediaman mereka dirobohkan
- Insaf Malaysia membantu membina 14 buah rumah untuk keluarga tersebut dengan kos RM560,000
- Permohonan kelulusan menduduki kawasan telah dikemukakan sebelum dikeluarkannya notis amaran, komuniti tersebut juga dalam proses mendapatkan akses kepada bekalan air bersih
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
