PLPB tawar latihan kemahiran berstruktur untuk komuniti Orang Asli

KUANTAN - Pusat Latihan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Paya Bungor (PLPB) di sini sebahagian komitmen berterusan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dalam memperkasa masyarakat luar bandar khususnya komuniti Orang Asli melalui penyediaan peluang latihan kemahiran yang berstruktur dan diiktiraf.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pusat latihan yang dilengkapi fasiliti moden itu bakal menawarkan kursus Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berasaskan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM).
Menurutnya, dengan adanya pusat latihan itu, KKDW menyasarkan generasi belia Orang Asli yang kompetitif dalam pasaran kerja dan berpotensi menceburi bidang keusahawanan seterusnya berupaya memperkasa taraf sosio ekonomi komuniti mereka.
"PLPB yang beroperasi sejak tahun 1969 ini menjadi nadi penggerak ilmu dan kemahiran kepada masyarakat Orang Asli sejak sekian lama.
"Selepas siap dinaik taraf dengan kos RM30 juta, pusat ini lahir semula dengan wajah yang lebih segar dan bersedia menawarkan pelbagai kursus TVET berteraskan kemahiran," katanya dalam ucapan aluan sempena majlis perasmian pusat latihan itu di sini pada Selasa.

Majlis perasmian disempurnakan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Ahmad Zahid berkata, inisiatif itu bertujuan melahirkan belia Orang Asli yang bukan sahaja cekap dan berdaya saing malah mampu menguasai bidang-bidang strategik yang diperlukan oleh industri masa kini.
"Pusat latihan yang telah mendapat pengiktirafan sebagai pusat bertauliah di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran dijangka mula menerima pelatih kohort pertama menjelang penghujung tahun ini.
"PLPB dilengkapi fasiliti moden seperti bilik kuliah, bengkel jahitan sehinggalah blok kemahiran dan komuniti serta fasiliti sukan dan rekreasi," katanya.
Tambah beliau, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga telah meluluskan 20 perjawatan baharu bagi PLPB tanpa tukar ganti merangkumi pelbagai gred dan skim bagi kelancaran urusan operasi pusat itu.
Sementara itu katanya, KKDW melalui JAKOA telah melaksanakan pelbagai inisiatif besar bagi kesejahteraan masyarakat Orang Asli khususnya di Pahang.
"Antaranya menaik taraf Pusat Transit Kuala Lipis, membina jalan perhubungan desa dari Kampung Orang Asli Simoi Lama ke Pos Lenjang, Lipis, membina jambatan baharu di Kampung Orang Asli Sungai Gabong serta kerja-kerja berkaitan di Bentong.
"Bagi seluruh Semenanjung pula, JAKOA telah membina 28 tabika baharu untuk anak-anak Orang Asli, mewartakan lebih 30 kampung Orang Asli, melaksanakan 258 projek bekalan air terawat dan menyediakan 812 projek infrastruktur serta ameniti sosial," katanya.
Beliau berkata, projek itu termasuk 236 projek menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara jalan raya di kampung Orang Asli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

