Perak mahu angkat bakat Orang Asli ke pentas lebih besar

IPOH – Kerajaan negeri berhasrat untuk mengangkat bakat seni anak muda Orang Asli di Perak ke pentas lebih besar termasuk peluang membuat persembahan bersama artis tersohor tanah air.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, penganjuran pertandingan seperti Asli Battle Of The Band (ABOTBA) Perak 2025 menjadi platform mencungkil potensi golongan tersebut dalam bidang seni.
Menurutnya, pertandingan yang dianjurkan bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) itu menunjukkan masyarakat Orang Asli mempunyai bakat besar dalam bidang muzik.
“Ramai anak muda Orang Asli sebenarnya berbakat, malah ada kumpulan band yang sudah mempunyai peralatan sendiri. Kita akan berbincang dengan Jakoa dan kerajaan negeri untuk memberi sokongan agar mereka lebih aktif dalam bidang seni.
“Insya-ALLAH, pada masa akan datang pertandingan ini akan dianjurkan dengan lebih besar dan lebih meriah. Malah, pemenang berpeluang membuat persembahan bersama artis terkenal seperti Jamal Abdillah sebagai contoh,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang ABOTBA Perak 2025 di pekarangan Stadium Ragbi, Kompleks Sukan Ipoh pada Ahad.


Dalam pertandingan itu, kumpulan Mijo’s muncul juara manakala tempat kedua dimenangi SRA SG dan tempat ketiga menjadi milik I Sabath.
Dua lagi finalis, Heavy OA Band dan Bakewei menerima hadiah saguhati.
Mengulas lanjut, Mohd Zolkafly berkata, kerajaan negeri juga bersedia untuk membantu Orang Asli yang berbakat membuat rakaman lagu bagi mengembangkan lagi potensi mereka.
Dalam pada itu, beliau turut memberi ruang kepada masyarakat Orang Asli menonjolkan bakat melalui pertandingan karaoke sempena Perak Agrofest 2025 yang akan berlangsung di Ladang Info Ternak Sungai Siput dari 26 hingga 28 September ini.
“Pertandingan itu akan memilih suara buluh perindu masyarakat Orang Asli negeri Perak dengan saringan pada Jumaat dan peringkat akhir pada Sabtu.
“Kita berharap rakyat Perak dapat hadir beramai-ramai memeriahkan Agrofest yang berlangsung selama tiga hari tiga malam,” katanya.
Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Perak ingin mengangkat bakat seni anak muda Orang Asli di pentas lebih besar
- Pertandingan Asli Battle Of The Band (ABOTBA) Perak 2025 diadakan bagi mencungkil potensi golongan tersebut dalam bidang seni
- Pertandingan ABOTBA adalah kerjasama antara Kerajaan Negeri, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam)
- Pemenang pertandingan berpeluang membuat persembahan bersama artis terkenal seperti Jamal Abdillah
- Kerajaan negeri bersedia membantu Orang Asli yang berbakat dalam membuat rakaman lagu dan menonjolkan bakat melalui pertandingan karaoke di Perak Agrofest 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

