Penduduk Kampung Durian Mentangau bimbang ancaman beruang matahari

DUNGUN - Seramai 1,300 penduduk di Kampung Durian Mentangau, dekat sini bimbang dengan kemunculan seekor beruang matahari yang berkeliaran di kampung berkenaan, terutama pada waktu malam sejak dua minggu lepas.
Timbalan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Durian Mentangau, Mazlan Mansor, 58, berkata, keselamatan penduduk mula terancam selepas haiwan itu didakwa turut menceroboh kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Mentangau untuk mencari makanan baru-baru ini.
Mazlan berkata, beliau pernah terserempak dengan beruang itu yang berkeliaran di ladang kelapa sawit berdekatan Loji Air Durian Mentangau pada 5.30 petang, 8 Jan lepas.
"Pada masa ini, penduduk mengambil langkah berhati-hati apabila keluar pada waktu malam kerana takut terserempak dan diserang haiwan liar itu.
"Penduduk juga risau akan keselamatan murid SK Durian Mentangau apabila beruang berkenaan dikesan memasuki kawasan sekolah,” katanya ketika ditemui di Kampung Durian Mentangau di sini hari ini.
Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) telah memasang sebuah perangkap di kawasan sekolah untuk menangkap beruang itu sejak dua minggu lepas.
"Penduduk berharap haiwan liar itu dapat ditangkap dengan segera sebelum kejadian buruk menimpa penduduk dan murid sekolah,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Osman Ismail, 66, berkata, beliau mengalami kerugian kira-kira RM1,000 apabila empat daripada lapan pokok kelapa yang ditaman empat tahun lepas dirosakkan haiwan itu.
"Pokok kelapa yang dirosakkan beruang itu telah berputik dan dijangka mengeluarkan hasil tidak lama lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata pihaknya menerima laporan mengenai pencerobohan beruang itu pada 4 Januari lepas dan anggotanya melakukan pemantauan serta kawalan di kampung berkenaan.
Beliau berkata, Perhilitan kemudian bertindak memasang perangkap di kampung berkenaan untuk menangkap haiwan liar itu dengan selamat.
"Pihak kami akan memasang beberapa lagi perangkap di kawasan dikenal pasti di kampung berkenaan... Beruang matahari itu dipercayai tersesat dari Hutan Simpan Bukit Gong berdekatan kampung itu,” katanya. - Bernama
Ringkasan AI
- Seramai 1,300 penduduk Kampung Durian Mentangau bimbang dengan kemunculan beruang matahari sejak dua minggu lepas
- Keselamatan penduduk terancam apabila beruang itu menceroboh ke Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau untuk mencari makanan
- Penduduk mengambil langkah berhati-hati terutamanya pada waktu malam dan risau akan keselamatan murid sekolah
- Perhilitan memasang perangkap di kawasan sekolah sejak dua minggu lepas untuk menangkap beruang itu
- Penduduk mengalami kerugian, contohnya Osman Ismail kerugian kira-kira RM1,000 akibat beruang merosakkan pokok kelapa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
