Dua lelaki maut nahas, tersepit bawah van

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] Dua lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki terbabit dalam kemalangan bersama sebuah van di Kampung Saga 3, Jalan Kibagu, di sini pada malam Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, kedua-dua mangsa yang belum diketahui identiti masing-masing berusia 20 dan 21 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit di bawah van.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.19 malam.
Katanya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 14.7 kilometer dari BBP Kota Kinabalu.
"Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah van dan motosikal. Mangsa tersepit di bawah kenderaan tersebut dan usaha mengeluarkan kedua-duanya segera dilakukan dengan menggunakan 'Air Lifting Bag'.
"Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan dan seorang pemandu van tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Ujarnya, mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daaerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman mengesahkan kejadian itu berkata, hasil siasatan awal mendapati van tersebut dalam perjalanan dari arah Kampung Numbak menuju ke One Borneo.
"Bagaimanapun, van tersebut telah bertembung dengan motosikal yang dinaiki dua mangsa datang dari arah bertentangan dan dipercayai telah memasuki laluan kenderaan tersebut.
"Akibat kejadian itu, penunggang dan pembonceng mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Syed berkata, pemeriksaan awal mendapati van mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala motosikal rosak teruk akibat pertembungan tersebut.
"Setakat ini, tiada pihak yang disyaki berada di bawah pengaruh alkohol atau dadah, namun sampel darah akan diambil untuk analisis toksikologi.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222," katanya.
Ringkasan AI
- Dua lelaki maut selepas motosikal dinaiki terlibat kemalangan dengan van di Kampung Saga 3, Jalan Kibagu, Kota Kinabalu
- Kemalangan berlaku pada malam Isnin kira-kira jam 7 malam
- Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah selepas tersepit di bawah van
- Seramai 11 anggota bomba dihantar ke lokasi kejadian yang berjarak 14.7 kilometer dari BBP Kota Kinabalu
- Operasi penyelamatan berakhir pada jam 8.23 malam selepas memastikan lokasi kejadian selamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
