X

Kindly register in order to view this article
!

Jumlah pakar perubatan China ke Sabah dibincang dengan kerajaan

Pesawat AirAsia yang membawa Kit Perubatan dari China selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu Terminal Dua. -Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah akan berbincang dengan kerajaan Persekutuan mengenai bilangan pakar perubatan dari China yang akan ke negeri itu dalam usaha membantu memerangi Covid-19.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong akan ke Kuala Lumpur esok untuk membincangkan perkara itu bersama Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Mohd Shafie berkata, beliau difahamkan oleh Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Liang Caide bahawa pakar perubatan dari China yang akan dihantar ke Sabah sudah dikenal pasti dan kerajaan Sabah memohon sekurang-kurangnya 10 pakar untuk ditempatkan di negeri ini.

“Kita seboleh-bolehnya, jika sudah ada kelulusan dari kerajaan Pusat, kita akan bawa dan tempatkan pakar perubatan dari China ini di Universiti Malaysia Sabah memandangkan sudah ada makmal di universiti tersebut.

“Perkara ini perlu disediakan sebelum keadaan Covid-19 meningkat dan menular di semua daerah. Kita perlu ada keupayaan (membendung wabak ini) dan dengan kumpulan (pakar perubatan dari China) ini, pihak bertanggungjawab (seperti doktor dan jururawat) akan dapat dilatih,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata, beliau sendiri telah berhubung dengan Mohd Zuki mengenai perkara itu dan berkemungkinan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan menyelaraskannya bagi membolehkan pakar perubatan dari China terbabit tiba di Sabah dalam tempoh terdekat.

“Sabah adalah antara negeri yang menunjukkan jumlah peningkatan (kes Covid-19) yang besar. Jadi, kita memerlukan bantuan seumpama ini,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie menyerahkan bantuan makanan bernilai RM8 juta kepada lapan jabatan dan agensi petugas barisan hadapan yang berkhidmat sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara penerima ialah Polis Kontinjen Sabah, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom), dengan masing-masing menerima RM1 juta. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!