Lembah Maksina diarah tutup sejak Oktober lepas - Penduduk

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

LAHAD DATU - Lembah Maksina, Makuau, Tungku yang terletak di dalam kawasan Hutan Simpan Silabukan iaitu kira-kira 55 kilometer dari bandar Lahad Datu merupakan antara destinasi pilihan pencinta alam yang menggemari aktiviti lasak seperti river hiking.

Penyelaras Eko Pelancongan yang juga penduduk Tungku, Nasip Rolok, 45, berkata, kawasan itu telah diarahkan tutup oleh Jabatan Perhutanan Sabah sejak Oktober lepas berikutan Monsun Timur Laut.

"Sebelum ini kawasan itu memang terkenal dengan aktiviti river hiking dan sebagai pemandu arah serta penduduk asal Tungku ramai pelancong telah menghubungi kami, sememangnya kami mahir dengan selok belok kawasan sekitar.

"Cuma segelintir kami tidak mendapat tauliah daripada pihak berwajib, namun kami masih mempunyai hubungan dua hala dengan pihak berkuasa," katanya kepada Bernama di lokasi kejadian.

Beliau berkata, kejadian itu dapat ditangani sekiranya aktiviti berkenaan dipantau pihak berwajib dan sebelum ini sebarang river trekking terlebih dahulu perlu mendapat kebenaran pihak polis serta Jabatan Perhutanan kerana kawasan berkenaan berada di dalam Hutan Simpan Silabukan.

"Kawasan ini (Lembah Maksina,) memang agak mencabar kerana laluannya yang sempit dan apabila terjadi kepala air, tiada tempat untuk berlindung atau lari, laluannya yang agak mencabar serta pemandangannya yang cantik menjadi pilihan utama pengunjung," katanya.

Sementara itu, abang kepada jurupandu yang terkorban dalam kejadian kepala air Salleh Latani iaitu Lajiman, 50, berkata, adik lelakinya itu menyara kehidupan isteri serta tiga anak dengan bekerja sebagai jurupandu.

"Saya terkejut dan tidak percaya kerana adik saya seorang yang mahir dengan selok-belok kawasan itu, adik saya anak bongsu daripada lima beradik dan saya individu terakhir mengetahui kejadian ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Lajiman, adiknya itu sering mendapat tawaran untuk menjadi jurupandu di kawasan terbabit.

"Sebenarnya, pada awalnya adik saya menolak untuk menjadi jurupandu di Lembah Maksina semalam, tetapi dipujuk untuk ke sana," katanya.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Dzulbaharin Ismail berkata empat jurupandu membawa 11 pekerja kilang sawit untuk aktiviti river hiking di Lembah Maksina, Makuau, Tungku di sini semalam sebelum terlibat dalam kejadian kepala air yang mengakibatkan tiga terkorban. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!