Bekas pegawai Mara didakwa pecah amanah wang bayar balik pinjaman lebih RM15,000

MUAR – Bekas pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas 25 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang bayaran balik pinjaman milik empat peminjam kepada agensi itu yang berjumlah lebih RM15,000 sejak lima tahun lalu.
Tertuduh, Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, 40, yang baru habis berpantang, mengaku tidak bersalah sebaik semua pertuduhan dikemukakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Khairi Haron.
Mengikut semua pertuduhan, ibu kepada tiga anak itu didakwa melakukan pecah amanah terhadap wang berjumlah RM15,892 yang telah didepositkan oleh empat peminjam ke dalam akaun miliknya bagi tujuan bayaran balik pinjaman.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Mara Daerah Tangkak antara 11 Mac 2021 hingga 2 November 2024.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda bagi setiap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi dan Nur Ameerah Allaudden, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan selain syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM22,000 bagi semua pertuduhan serta perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada Isnin pertama setiap bulan.
Kes akan disebut semula pada 8 April ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.
Dalam pada itu, tertuduh akan dihadapkan sekali lagi di mahkamah sama pada Rabu dan Khamis ini bagi mendengar baki 41 lagi pertuduhan berkaitan kesalahan tersebut.
Ringkasan AI
- Bekas pegawai Mara didakwa atas 25 pertuduhan pecah amanah
- Tertuduh, Nor Hasmal Hazwani berumur 40 tahun dan ibu kepada tiga anak
- Total wang pecah amanah berjumlah RM15,892 daripada empat peminjam
- Perbuatan pecah amanah dilakukan di Pejabat MARA Daerah Tangkak antara 11 Mac 2021 hingga 2 November 2024
- Tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan jaminan RM22,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

